Wednesday, December 10, 2008

Surat Siaran


10 Disember, 2008
Dari Meja Setiausaha Agung,
Pindaan Pelembagaan
Mesyuarat Agung Dwitahunan ke- 6 Persatuan Karyawan Perak pada 29 Jun yang lalu, juga telah meluluskan usul bagi bagi meminda perlembagaan iaitu Jawatan Ketua 1, Ketua 2, Setiausaha 1 & 2. Pindaan Perlembagaan itu telah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia Cawangan Perak Ruj. PRK/126/91 (59) pada 23 Oktober, 2008. Kini Jawatankuasa Persatuan Karyawan Perak mengandungi barisan Jawatan seperti berikut:
a) Seorang Presiden
b) Seorang Timbalan Presiden
c) Seorang Setiausaha Agung
d) Seorang Timbalan Setiausaha Agung
e) Seorang Bendahari
f) 9 Ahli Jawatankuasa
Antologi Puisi- Sempena 25 Tahun Sultan Perak
Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) akan menerbitkan sebuah ‘Antologi Puisi’ Sempena 25 tahun Pemerintahan Sultan Perak. Projek akan diselenggarakan oleh Prof Dr. H.j Muhammad Bukhari Lubis dan Dr. Hj. Talib Samat. Sehubungan itu, Saudara/Saudari adalah dipelawa untuk menghantar seberapa banyak puisi atau gurindam tidak lewat pada 25 Februari, 2009 kepada penyelenggara di alamat Fakulti Bahasa, UPSI, Tanjung Malim atau kepada Setiausaha Agung seperti alamat di bawah atau Email: abdullahms@perak.gov.my. TEMA: Berkaitan dengan DYMM. Paduka Seri Sultan Perak (Pelbagai aspek) Sumbangan daripada saudara/saudari amat diharapkan. Insya-Allah pada tahun hadapan dua ( 2) buah Antologi akan dilancarkan serentak sekiranya menjadi kenyataan.
Antologi Puisi ‘Suara Kita’
Setelah penerbitannya tergendala sekian lama kerana masaalah kewangan, akhirnya antologi ini telah masuk giliran untuk dicetak. Semoga anda bersabar menanti kemunculannya pada tahun hadapan. Kepada penyumbang-penyumbang adalah diminta supaya e-melkan alamat anda ke karyawanpk@yahoo.com/ untuk kemudahan pehak penerbit menghantar naskah percuma nanti.
Muhasabah Diri
Sebagai seorang Ahli Persatuan Penulis, kita ada tanggungjawab yang sewajarnya diambil perhatian, di bawah ini dicatatkan beberapa tanggungjawab sebagai seorang Ahli :
1) Menuntut Ilmu
2) Banyak membaca
3) Sentiasa prihatin dan ambil tahu perkembangan persatuan
4) Sertai aktiviti
5) Sedia menerima arahan pemimpin
6) Hadir mesyuarat, dan
7) Yang terpenting sekali ialah menjelaskan yuran tahunan sebanyak RM2.00 setahun. Tak banyakkan! Sudahkan anda berbuat sedemikian. Sila hubungi Bendahari seperti alamat berikut: Mohamad Paris Bin Arshad, No.12, Jalan Bunga Raya, Taman Indah, 31000 Batu Gajah.
Salam sejahtera

Setiausaha Agung
Onn Abdullah, Lot 153, PSRN Tawas Permai 10,
RPT Kg.Tawas Tambahan, 30010 Ipoh.
Tel: 016-5360864
Email: abdullahmas@perak.gov.my
mailto:mas_onn@yahoo.com.my
Blog :masonn37.blogspot.com
masabadi.blogspot.com

Benih


Benih yang tumbuh menghijau subur
diulit semilir pagi, akar kasihnya
mencengkam urat bumi
kukuhnya menyentuh sanubari
kenyang generasi ~ sekilas musim kenal diri

Benihpun menjadi buah rezeki, lazatnya
santapan dikunyah menjadi darah
rindu yang tumpah tetap di rumput sawah
dan ingatan tak ‘kan padam usia kecil yang nakal
menyuap emping manis meratah puyu bakar
di tepi permatang hayat, sambil menghalau tiak
yang galak mencuri tangkai murni, dari benih
padi asalnya padi dalam tunduk kian berisi
resminya memang menjadi
kitapun pasrah membaca kamus alam
dewasa akal fikiran tercetus ketenangan
menatap kilau emasnya
sepanjang musim cinta!

ONN ABDULLAH,
Kg. Gajah.

Pemilik Kebahagiaan

Siapakah mewarnakan alam kesejahteraan
yang menitipkan jalur cahaya keindahan

Siapakah menitiskan embun hidayah
yang menyiram manik insaf di laman payah

Siapakah menyuburkan pohon kehidupan
yang melentur cinta tunas keperibadian

Siapakah mengatur jodoh pertemuan
yang merisik cinta kasih sayang insan

Siapakah yang memintal tali ukhuwah
terjalin suci di bawah payung mukmin

Siapakah yang menyusun sireh martabat
dalam keredhaan janji di gerbang muafakat

Siapakah membangun landasan ketakwaan
mengukuhkan sendi rumahtangga teladan

Siapakah pemilik kebahagiaan abadi
tiada lain hanya DIA Rabbul-Izzati.

ONN ABDULLAH
Antologi Istana Kasih 2
Ipoh, 2007

Friday, December 5, 2008

Kau Masih Tak Kenal Diri

Kau masih tak kenal diri walhal kau punya diri
: dirimu adalah jasad yang punya roh diizin oleh-Nya
bergerak ~ jaluran pancaindera sempurna dari
hujung rambut ke hujung kaki ~ anugerah-Nya yang
mahahebat dan teristimewa: mutiara akal yang sukar
terbalas dengan sejuta kata biarrpun bertahun sudah
menjalani rentak kehidupan dengan percuma nikmat
Islam dan iman daripada orang tuamu begitu kau abaikan
dan kau makin jauh dari dunia nyata ~ asyik merapu dan
lara di dunia fana tanpa sepincingrasa malu dan takut.
Dalam kewarasan akalmu enggan menerima kebenaran
darahmu mengalir dendam yang sukar terpadam
jiwamu leka memintal tali nafsu cintamu terpahat
di rasuk dunia kau tegar mengibar bendera curiga
lehermu cekal memakai azimat penjajah ~ kaupun
rasa angkuh berdiri di tanah cinta. Ranjang sengsara
yang pernah kau tiduri dengan ribuan mimpi aneh
telah kau lupa, biar kini kau segar bugar dan lagut
mencumbu nikmat sama hebat tenagamu mencakar riak
dalam diam lidahmu cair memutar sengketa dan tiada
hentinya menyimpul tali amanah pada akujanji
tak pernah kau tunai. Hutang dengki kian bertimbun
risa kianat membusung tinggi ~ hutang ngumpat
tak pernah langsai hutang riak merata berselerak
lagak hidupmu penuh takbur ~ kau tak senang melafaz
syukur malah kau bertambah kufur sedang nadimu masih
berdenyut memburu dunia sendaloka~ impianmu mengejar
pelangi cinta permainanmu dan taksub melakar peta dusta
hingga kau lupa hidup ini tinggal sisa bagai telur
di hujung kuku dan ralit bergentayangan siang malam
hingga tak punya waktu untuk mengenal diri!

ONN ABDULLAH
Ipoh,

Tuesday, November 25, 2008

MELUAT

Perangai manusia ini memang pelik~ susah nak duga. Ada yang sopan santun dan lemah lembut, ada yang suka mengampu, ada pula yang kerja asyik mengumpat saja. Tak kurang pula yang cerewet dan berbagai kerenah lagi. Hari demi hari ~ umur semakin meningkat, bukan mahu berubah tapi semakin teruk. Kalau muda tu lain kira, barangkali boleh bertaubat tapi ini dah tua kereput: Rumah kata pergi, kubur kata mari~perangai semakin menjadi-jadi. Langsung tak ingat mati.

Pagi petang ada saja ceritanya. Kadang-kadang kecuh seluruh kampung. Itu ini, adu domba, fitnah memfitnah dan seribu cerita yang menyakitkan hati

'Meluat aku,' kata Roziana dengan muka yang selamba.
'Kau tu tak ada kerja lain, asyik meluat aje.' balas Nurjana.
'Dah tu, aku nak buat apa? terima aje apa yang dia dah lakukan.'
'Meluat tu maknanya~ benci...tak baik kita amalkan sikap benci membenci ni.'
'Eh, aku tak bencilah tapi meluat aje, meluat tu macam menyampah aje!'
'Menyampah tu adik-beradik benci tau, sama aje.'
'Tak kisahlah...apa kau nak cakap. Tapi aku betul-betul meluatkan dia.'
'Apa masaalahnya, ceritakan pada aku.'
'Dia tu mengada-ngada, tak boleh tenguk orang senang sikit, asyik perli aku aje. Malas nak ceritalah...melampau betul.'
'Sudahlah...usah ambil hal, biarkan saja. Kalau perangainya dah macam itu. Apa nak kata?
Roziana mencebek macam tak puas hati jawapan dari sahabat baiknya itu.
'Jangan pula kau jadi macam dia pulak!'
'Hmm...aku takkan jadi macam dia...aku tetap aku.' suaranya penuh yakin.
'Ya ke? Nurjana menjeling dan ketawa mengejek.
'Ehhh...meluatnya aku.....!

Tuesday, November 11, 2008

MARAH

Pagi dia marah. Petang pun marah. Nasiblah waktu malam tidak bekerja. Jika tidak, pasti dia marah juga. Kenapa mesti marah-marah? Bongkak! Sombong! Ego! Nak tunjuk ada kuasa! Puh, boleh jalanlah...kita ini manusia yang diberi akal oleh Allah. Bukan haiwan yang tinggal di Belantara ~ yang punya undang-undang boleh buat apa saja( hatta membunuh sekalipun). Barangkali orang yang suka marah-marah ini adalah orang yang sakit jiwa: jika tak marah satu hari, barangkali dia akan mati.

Kemarahannya kadang-kadang tak dapat dikawal. Pantang salah sikit, mulalah dia berleter lalu keluarlah kata-kata kesat yang tak enak didengar. Sumpah seranahnya berjela-jela.

"Apa dah jadi, " herdiknya

Sepi. Tak siapa berani angkat muka. Semua membatu, kecut perut.

"You all tak ada telinga ke?"

Suatu suara halus yang tak terduga tiba-tiba mencelah, seolah-olah mendapat sedikit keberanian.

"Bukan tak dengar, cuma malas nak jawab!"

"Apa? jerkahnya. Bertambah berang. cakap! cakap! kenapa boleh jadi begini. Bodoh macam lembu, Penakut macam tikus. Macam mana nak jadi manusia, manusia mesti berani"

"Berani macam tuan, boleh buat apa saja. Marah tak tentu fasal. Kami jadi macam ini kerana tuanlah, suka marah-marah. Tak pernah berlembut. Tak pernah beri peluang pada kami. Sehingga bila kami dengar saja suara tuan, kami dah kecut perut. Barangkali tuan ini sakit jiwa, orang sakit jiwa bukan boleh dilayan!"

Cis! Celaka.... sergahnya dengan marah yang tak dapat dikawal lagi.

Friday, August 29, 2008

Suara Anak Merdeka

Merdeka bertanya pada hati, benarkan aku sudah merdeka?
merdeka itu apa? tanyanya pada hati yang masih mencari diri
apakah merdeka itu seperti burung beterbangan di angkasa raya
apakah merdeka itu seperti serigala riak menyalak gunung berapi
apakah merdeka itu seperti si musibah memekik tanpa ketahuan bahasa
apakah merdeka itu seperti haiwan yang bisa bercumbu di mana saja
merdeka itu apa? kenapa merdeka itu sama seperti nama aku yang tertulis
dalam kad pengenalan yang telah setengah abad kusimpan dalam poket
seluarku yang kian lusuh. Merdekakah aku kerana namaku merdeka ?

Tiap muncul ogos aku terpanggil diraikan dalam majlis merdeka kerana
nama kami merdeka maka merdekalah kami bersama slogan indah
yang riuh dihebohkan bersama sejuta kemegahan yang dirayakan
dengan aneka perubahan yang cukup menakjubkan dan serentak lagu
dan muzik merdeka dimainkan ~ jalur gemilang megah berkibar.

Jauh di belakang tabir tanpa disedari banyak hati tercicir dan kakikaki
tergelincir, tak siapa peduli tentang maruah yang tercalar, iman yang
terbakar ~ seribu mungkar menjalar ~melingkar bagai ular
dan ribuan mata menjadi jalang dan tak jumpa jalan pulang.

Siapa mampu menyatakan makna merdeka~ sedang hati nurani terpenjara
di damir jiwa yang terlontar hiba meraba jalur cahaya yang tak pasti
akhirnya lelah tercungap melakunkan drama bernama MERDEKA
begitu tertidur dalam mimpi merdeka yang bukan apa-apa!

ONN ABDULLAH,
Kg.Tawas, Ipoh.

seorang meminta aku menulis tentang dirinya yang
bernama merdeka…akupun tulis puisi ini untuk dirinya….*

Thursday, August 21, 2008

RAMADHAN AL-MUBARAK

Bagaimana mahu menjadikan Ramadhan kali ini yang terbaik dan bermakna? Kata Abu Hasan, sebagai manusia kita harus mengingatkan diri kita bahawa mungkin ini adalah Ramadhan terakhir untuk kita, esok memang masih ada tetapi sebagai manusia, kita belum pasti dipanjangkan usia esok. Oleh itu, ambillah peluang ini untuk melakukan 3 perkara utama:

1. Mendekatkan diri kepada Allah dengan selalu menyebut nama-Nya, membaca Al-Quran dan melakukan ibadah khusus yang lain.

2. Tazkiyatun nafs ( menyucikan diri) iaitu antaranya banyakkan istighfar dan mengingati kebesaran Allah.

3. Muhasabah diri iaitu menilai semula hubungan dengan manusia dan dengan Allah

Sumber: Majalah an-Nur.

Tuesday, August 5, 2008

SUNNAH RASUL

Dr Jamnul Azhar memulakan syarahannya dengan membawa para hadirin memikirkan sejenak dengan hadith yang maknanya sedikit sebanyak "Dalam diri-diri kamu ada kebesaran Tuhan". Doktor menyuruh kita melihat kedua tapak tangan dan perhatikan garis-garis di tapak tangan kita. Garisan-garisan di tangan kiri menunjukkan angka 8 dan 1 dalam Bahasa Arab dan tangan kanan 1 dan 8 dan membawa ke jumlah 81 +18 = 99 iaitu bilangan nama Allah. Berikut adalah antara intipati syarahannya secara ringkas:-

1. Cara makan, kenapa kita gunakan tangan? Mengikut cara Rasulullah s.a.w. , beliau akan menggaulkan lauk dan nasi dengan tangan kanannya dan kemudian membiarkan sebentar, lalu Rasullah saw akan mengambil sedikit garam menggunakan jari kecilnya (kelingking) , lalu Rasullah s.a.w. akan menghisap garam itu. Kemudian barulah Rasulullah makan nasi dan lauknya.

Mengapa? Kerana kedua belah tangan kita ada mengeluarkan 3 macam enzim, tetapi konsentrasi di tangan kanan kurang sedikit dari yg kiri. Ini adalah kerana enzim yg ada di tangan kanan itu merupakan enzim yang dapat menolong proses penghadaman (digestion), ia merupakan the first process of digestion.

Mengapa menghisap garam? Kerana garam adalah sumber mineral dari tanah yg diperlukan oleh badan kita. Dua cecah garam dari jari kita itu adalah sama dgn satu liter air mineral. Kita berasal dari tanah maka lumrahnya bahan yang asal dari bumi (tanah) inilah yg paling berkhasiat untuk kita.

Kenapa garam? Selain dari sebab ia adalah sumber mineral, garam juga adalah penawar yang paling mujarab bagi keracunan, mengikut Dr, di hospital-hospital , the first line of treatment for poisoning adalah dengan memberi Sodium Chloride, iaitu GARAM. Garam juga dapat menghalang sihir dan makhluk-makhluk halus yang ingin mengganggu manusia.

2. Cara Rasulullah mengunyah - Rasulullah akan mengunyah sebanyak 40 kali untuk membiarkan makanan itu betul-betul lumat agar perut kita senang memproseskan makanan itu.
3. Membaca Basmalah (Bismillahirrahma Nirrahim). Membaca Basmalah sebelummakan untuk mengelakkan penyakit. Kerana bakteria dan racun ada membuatperjanjian dengan Allah swt, apabila Basmalah dibaca maka bakteria danracun akan musnah dari sumber makanan itu.

Cara Rasulullah minum.Janganlah kita minum berdiri walaupun ia makruh tetapi ia makruh yangmenghampiri kepada haram. Jangan kita minum dari bekas yg besar dan jangan bernafas sedang kita minum. Kerana apabila kita minum dari bekas yg besar,lumrahnya kita akan meneguk air dan dalam proses minum itu, kita tentu akan bernafas dan menghembuskan nafas dari hidung kita. Kerana apabila kita hembus, kita akan mengeluarkan CO2 iaitu carbon dioxide, yang apabila bercampur dgn air H20, akan menjadi H2CO3, iaitu sama dengan cuka, menyebabkan minuman itu menjadi acidic.

Jangan meniup air yg panas, sebabnya sama diatas. Cara minum, seteguk bernafas, seteguk bernafas sehingga habis.

Mengapa Islam menyuruh di sebat 100 kali orang belum berkahwin yang berzina, dan merejam sehingga mati org yg sudah berkahwin yang berzina? Badan manusia akan mengeluarkan sel-sel darah putih atau antibiotik yg dapat melawan penyakit. Dan sel-sel ini terdapat di daerah tulang belakang, berdekatan dengan sum-sum tulang manusia. Lelaki yang belum berkahwin dia akan dapat mengeluarkan beribu-ribu sel ini, manakala lelaki yang sudah berkahwin hanya dapat menghasilkan 10 unit sel ini sehari, kerana antara sebabnya ialah kerana sel-sel lain akan hilang kerana perhubungan suami isteri. Jadi apabila lelaki yang belum berkahwin didapati salah kerana zina hendaklah>disebat 100 kali.

Ini adalah kerana apabila dia disebat di belakangnya, suatu amaran tentang kesakitan itu akan membuatkan penghasilan beribu sel antibiotik yang dapat melawan virus HIV jika ia ada di badannya, dengan itu dapatlah antibodi melawan virus HIV itu. Tetapi jika lelaki itu sudah berkahwin, walau pun disebat 100 kali ia akan tetap menghasilkan 10 unit antibodi sahaja, jadi dengan itu hukumannya direjam hingga mati agar dia tidak dapat merebakkan virus HIV itu.

Itulah sedikit sebanyak inti syarahan yg disampaikan oleh Dr Jamnul Azhar.Harap ia akan memberi manfaat pada anda sekalian, dan sedikit informasi yang diberikan oleh Mudaris (guru) ana, Mudaris Iskandar mengenai Ka'bah.

Mengapa ia terletak di Mekah al-Mukarramah dan mengapa ia empat persegi cube). Ia terletak di posisinya sekarang kerana setelah dibuat kajian oleh para cendikiawan dari Pakistan dan Arab, didapati, tempat terletaknya Ka'bah sekarang itu, adalah betul-betul di tengah bumi. Mengapa ia empat persegi, ia melambangkan perpaduan ummah yang bergerak maju bersama, equality and unity, tidak seperti bentuk pyramid, dimana ia diumpamakan, seperti hanya seorang pemenang yg berada di atas setelah ia memijak-mijak yang lain. Dan antara lagi sebab mengapa 4 persegi melambangkan 4 imam besar, Maliki, Hambali, Hanafi dan Syafi'i, melambangkan kebenaran keempat-empat Imam tersebut.

Sekian buat renungan bersama, Fi amanillah Jazakallah

-Dari sahabat kepada sahabat untuk disampaikan kepada sahabat....

Friday, August 1, 2008

Gambar Kenangan

Anugerah Sastera Perak 2004.









Penerima Anugerah PENTAS 2005.









Anugerah Penulis PENTAS 2005 daripada D.Y.T.M. Raja Muda Perak.



























Majlis kunjung hormat AJK Karyawan Perak dengan Y.A.B. Menteri Besar Perak di pejabat Menteri Besar Perak.

USAH PERSOALKAN SIAPA KITA

Usah persoalkan siapa kita dari kehadiran benih insan
kerdil berjiwa besar penuh tegar atau tokoh tersohor
segak berhemah tapi bisa sembunyikan riak
dan lagak hanya pada angguk dan senyum menebalkan
lumut keangkuhan kerana yang dinilai pada diri adalah
kuntum keikhlasan dan bersihnya amal serta berani
menepis kemungkaran setia menegak hak ~ cekal menimbus
lopak-lopak kecurangan, selagi mana yakin dan redha
bernaung di bawah payung mukmin, hulurkan tekad
sefahaman ~ kita padamkan jalur-jalur kegusaran
yang keliru lagi menyesatkan, ayuh pamirkan keazaman
dan keberanian menentang agenda laknat yang dahsyat
yang segaja membangkitkan lahar prasangka yang lebat
terbenam di damir kepalsuan.

Kemarin dulu mereka telah melakar peta kebencian
tanpa selindung terus menikam tajam ke rusuk nurani
hingga orang –orang kita jadi nanar dan resah seri wajah
selamba menyimpan debar dalam selimut getik yang asyik
selainnya tunduk dan taksub pada kata: kita ini siapa,
ah! tak apa, biarkan saja ~ kita boleh buat apa? Namun
sinisnya ejekan dengan halus menggigit lumat rasa kecintaan
hidup bagai dibius jarum kerakusan yang tak terleraikan!

Kita diaibkan satu demi satu
penghulu kita direndahkan martabatnya
janggut, serban dan nafsu serakahnya, yang aneh dicerca
bangsa sendiri di dada polimek terbuka, kini ayam togel
Denmark mencakar di Jyllands-Posten dan berkokok
membingitkan telinga, segaja menaikkan amarah kita:
karikatur wajah junjungan dicanang
seluruh benua ~ jelas biadap mempersenda.

Mujahid Islam bangkit dengan rentangan sepanduk protes,
tapi orang-orang kita asyik tergelak dan mencicip enak
roti panas di gerai mamak protes hebat prestasi bola sepak
serta rancak protes ABPBH atau tersentak pada harga minyak
melambung tinggi lalu protes setengah mati!

Selemah-lemah iman hanya mengutuk di hati,
tak mampu bersuara cuma sumpah seranah berjela
sekuat-kuat jiwa sebagai penyair kita cipta gugusan puisi
lalu protes dengan cara kita, menghantar suara pekik
dan raung~ memukau dan membakar jiwa raga
dengan cara apa sekalipun, biar sampai matlamatnya
dan usah persoalkan siapa kita.

ONN ABDULLAH
Majalah Masa,
Jun, 2006.

TUNJUKKAN PINTU ITU


Telah
kucari pintu itu
pintu yang tiada jalan keluarnya
aku ingin masuk ~ aku tak ingin keluar
tunjukkan padaku ~ aku ingin segera masuk
ke pintu tenang kemilau cahaya tenteram
aku ingin terus iktikaf redha khalwat
cinta hingga menjadi lenjun seluruhnya ~ siramlah
dengan nur kasih-Mu hingga basah sujudku,
biarku basahkan lidahku dengan zikir-Mu
sungguh aku ini kelana yang telah bertahun kau kirimkan
bekalan ~ hingga tak tersentuh tanganku kerana
terlalu penuh dan melimpahruah ~ kenikmatan itulah
bekalan yang telah kusia-siakan kerana sedikitpun tiada
untuk bekalan diri jauh di sana
ingin kucari bekalan yang lain bekalan hakiki ~ bekalan
abadi
ingin kukecapi seluruhnya sari kelazatan
mawar cinta-Mu dalam zuhud putih bersih
tunjukkan padaku sebuah pintu
yang terbuka
tapi tertutup
tunjukkan
padaku pintu itu
kerana aku enggan
keluar dari pintu rahmat-Mu!
ONN ABDULLAH
Dewan Sastera,
September.2004.

TUKANG SIHIR

-buat As Suhaimi.

Langit yang suram menurunkan serbuk sunyi
ke laman jiwa ~ sunyi pun menjadi peta kasih
di tangannya bisa jadi kelopak bunga mekar harum
semerbak menusuk ruang mimpi insan leka yang lelap
di kamar rindu menitis-nitis airmata cinta terjelma
jadi mutiara dengan azam tak mengenal riak dan cuak
menjerit tanpa suara di taman surealisme tak terjangkau
makrifat mencari elit yang sembunyi di baju keraguan.

dia tukang sihir yang mahir dengan kental alam bahasa
rahsia tanpa ragu mentafsir ruwet menghimpit wajah lesu
mengusir tangan angan melakar puisi tak bernama hanya
tong-tong kosong tanpa isi dan gendang bunyi yang sepi
di longgokan sampah-sampah jalanan busuk dimamah kelu
lidah anjing tak mengenal bau, hanya tulang tanpa darah
najis sisa hapak ditatap bisu dengan mata celik yang nanar.

bertahun sudah meneroka rentak angin pada simpang-siur
hayat fikrah membelit akliah mengilap cita ~ kedewasaan
mengajarnya jadi insan bijaksana dengan cekal dan tabah
ia pun meniti laut sufisme yang jauh tapi dekat amat indah
dilambung gelora yang tenang tapi sayup tak bertepi!

ONN ABDULLAH
Dewan Sastera.
September, 2005.

TSUNAMI


Laut kehebatan-Mu melepaskan gelegak ombak
memutar gelora ke sayup raung ~ meramas keruh
laut bergulung. berkeliaran hidupan laut menjauhi
lubuk ~ kuatir sesat tanpa arah meredah pintu gelisah
terjebak kelam gementar seluruh mergastua~penghuni
damai pesisir pantai berarak debar tinggalkan hijau
pulau dari bisikan rahsia kasih bertasbih tercium bau duka
tapi ikan-ikan tanpa sayap mahu terbang ke laut apa? hanya
terlambung liar di sayap angin terhempas di sisiran landai
tersentak sesak nafas menitip makna dari khabar rahsia.

Naluri manusia tiada upaya mentafsir kias ganjil terpukau
ghalit bagai terhijab damir jiwa di mata hanya takjub pada
keasyikan sandiwara cinta melakar rindu yang letih
di ribaan nikmat melayar mimpi aneh: tersentak kaget
pada gelegak ombak meluru laju berpusar ganas berantakkan
segala kasih terburai kemesraan dari gegaran musibah pada
namanya tsunami adalah tusukan maut mencengkam serakah
menikam bongkak mencabut duri angkuh manusia derhaka.

Tentera ombak ganas menyerang pantai dan tanjung,merentap
akar pohon tak mengenal ampun meranapkan kezaliman teguh
runtuh jadi aib singgahsana cinta di tebing maruah ~ luluh
taman kemanusiaan begitu terpisah jasad dan roh, lesap rana
di baham selut,berkecaian tubuh-tubuh lembut terbuntang reput
dikelar maut. sungguh kita manusia kerdil tiada daya menolak
takdirnya tsunami: suatu iktibar tiada lain hanya redha dan sabar
muhasabah diri mengukuh peribadi kembali ke tapak kebenaran!

Firman Allah-Taala:
“ Telah lahirlah bencana di darat dan di lautan, kerana usaha
tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian
dari (balasan) perbuatan yang mereka lakukan, mudah-mudahan
mereka kembali (taubat)”
-Ar-Rum ayat: 41

ONN ABDULLAH
Antologi Tsunami,
2005

TIADA YANG ABADI

Tidak pada cantik paras rupa
tapi budi bahasa cinta
tidak pada kacak gagah
tapi semangat setia indah
tidak pada pangkat dan harta
tapi toleransi dermawan mulia
tidak pada menara kekuasaan
tapi tali ukhuwah kemesraan
tidak pada rukuk dan sujud
tapi keimanan dan ketakwaan
tidak pada taat dan amalan
tapi hanya keikhlasan
tidak pada segalanya
pada diri – kamanusian lebur
pada dunia – keindahan bertabur
tiada yang abadi – hanya Dia!
ONN ABDULLAH
Dewan Sastera,
Oktober, 2005

TELAGA


Telaga kasih
rindu menanti timba
telaga asli airnya suci
dingin nyaman
segar alirnya segar
mengalir nikmat
meski tak dalam
tak pernah berkurangan
malah lebih banyak
airkasih yang bertakung
dari suci mata-air abadi-Nya
dulu, waktu kau kecil
acapkali kau menimba mesra
sambil menyiram tubuhmu
dari dingin airnya
telaga kasih
peribadi yang bersih
air yang tercurah terbit jernih
kini, kaumuncul telaga telah sepi
dan riak jernihnya
terlindung rumput nestapa
dan kau pun enggan menyapa
telaga kasih
telaga asli tetap suci
hanya, kau yang tak sudi!

ONN ABDULLAH
Dewan Sastera,

Oktober, 2005.

SONETA LUKA

Tuduh menuduh adalah agenda utama permusuhan
sengketa hitam yang luka menyala api kebencian

apabila sudah tidak mampu menegakkan benang basah
seluruh benang itu pun terus tinggal kusut dan membelit

usul menarik cermat dari tepung agar benang tak putus
tapi tepung berterbangan menikam jernih mata cinta

sengaja menanam jebak untuk membunuh mangsa leka
mangsa tak pernah lupa jebak tapi sering tergadai jiwa

gendang canang menjerit mempamirkan tingkah angkuh
bergema menusuk gelisah seluruh telinga benua simpati

panah api menjunam lalu membakar rakus taman damai
jerit pekik bersatu dalam basah darah terkapar dibumi

demikian keji soldadu sekutu riak memancung kiblat
dan para mujahid tak mampu melakar peta muafakat

bumi anbia’ hancur lebur dihujani peluru dendam
dari jauh kita menatap pedih soneta luka yang kejam

ONN ABDULLAH
Dewan Sastera
Ogos, 2005.

POTRET

Lirih doa merata dalam kelunakan surah Yasin
di subuh bening menyiat rindu dalam debaran kasih
potret seorang isteri pada kelesuan mata menanggalkan
sutera cintanya dari cermin hayat dalam warna dan kata
yang sukar diterjemah oleh matakasih seorang lelaki kamil
bernama suami ~ rindu pun tergetar menyulam rahsia
kilauan alpa keasyikan cinta dari sebuah kefanaan:
sepi pun runduk ~ dalam gemuruh melakar makna
sabar yang tenang dalam lurah takdirnya.

Demikian lahar rindu menyusur kasih terbuka hijab
penuh limpahan nikmat risik kuntuman kasih wangi
dari zat alam takjub ~ indahnya keajaiban: aroma bunga-
bunga mesra mengembang dalam suara damai kerdipan
cakerawala langit malam pasrah sujud pada perintah-Nya,
tersentak lelaki itu persis menangkap suara angin merdu
bagai menghantar mutiara embun kesedaran, kehidupan ini
amanah terjunjung oleh akal dan akar diri bukan bebanan
tapi sebuah kerelaan suci, jauh tersirat iktibar kasih pada
mengharungi belantara penuh getir dibenahi debu-debu
putih tercengkam tajam kerikil-kerikil hitam di selokan
tanah yang kusam~ ah sulitnya jari-jari menyisih dan mata
mengalih menuntut kecekalan mengukir Tajmahal cinta dan
mampu melawan ribut umpat dan angin cerca yang bisa
membunuh sunyi dalam diri.

Kegetiran terjelma di ufuk kasih biar kebal tiada yang kekal
meniti puncak bahagia di titik ketentuan-Nya. Gemeresik rindu
yang jauh terasa dekat namun begitu sukar dalam mencari
potret indah meniup nyala baru kehidupan cinta.

ONN ABDULLAH
Dewan Sastera
Oktober, 2005.

PENDEKAR BAHASA

- buat Jaafar Abdul Rahim

Tampangmu tetap lembut dan yakin
di gelanggang persilatan lidah yang sulit
melontar hujah berhemah~ tegar
cita luhur menyubur buahfikir
menabur benih amal di laman sejahtera
menampi antah kata ~ mengikis melukut budaya
mencerna ilmuan mekar di perdu azam
kental mesra menyulam hasrat ke wajah zaman

Pasrah kaulalui jalur kehidupan ini
dengan nirmala kental semangat Kasturi
menyirat sabar mendepani terjah tohmahan
bagai kesetiaan Tuah tak mudah mengalah
tak mudah leka tak mudah tergelincir
tak mudah menyerah tak mudah melatah
segala jurus kausanggah yang kusut kaulerai
segala cakar kauhindar yang rumit kaurelai
segala jerkah kautafsir yang misteri kaudekati
segala desah kauusir yang sulit kauselidiki

Pendekar bahasa, telah kaujelajahi dunia
pemikiran yang jauh dengan logik imaginasi
kaususun gerak motivasi penuh dedikasi
mendaki puncak kreatif ~ melarik rahsia manusiawi
membongkar khazanah tersirat yang tersurat
melakar putik kasih ~ menyusun sireh martabat
dan pohon cinta kekar sejahtera
subur bangsa dan negara berdaulat!

ONN ABDULLAH
Antologi Sahabat Sejati.
2006

ORANG-ORANG KITA


Tiada apa lagi yang tinggal, selain
kulit sawo matang yang lembut
mata bening yang kalut
jari-jemari kematu yang kaku
lidah celupar yang kesal
telinga lintah yang tuli

tiada apa lagi yang tinggal, selain
cinta waja kental tak terucap
takjub keramat tak bertempat
kasih pertiwi yang tersembunyi
bisik-bisik strategi tak berisi

tiada apa lagi yang tinggal, selain
nostalgia rindu di album bangsa
marah dan dendam bergolak di dada
angkuh berani di wajah yang selamba
debu bahasa nanar yang tegar
taman kemakmuran yang cemar
ladang kemanusiaan yang calar

tiada apa lagi yang tinggal
pada orang-orang kita, selain
panah jihad yang punah berkecaian
benang-benang keimanan reput terkulai
struktur hati yang hidup tapi telah mati
di Persada maruah globalisasi

ONN ABDULLAH
Dewan Sastera,

Oktober, 2005.

MENGINTIP MATAHARI


Pernahkah kaumengintip matahari muncul dari
punggung bukit menabur bakti ~ melunas janji amal
yang asyik menyubur keredupan yang basah
lewat sentuhan embun dan rintik hujan semalaman.
Hari demi hari ia bangkit menjala sinarnya ~ suatu
amanah kecuali hililintar dan kilat menerpa, memintas
langit gemuruh berantakan jadi hujan lebat seakan musibah
tak terduga. Pada taat sekerlip istirahat sebelum ia
meneruskan khidmat alam fanaa hingga lembayung senja.

Di langit keadilan, sinarnya telus menusuk sejengkal
dari ubun-ubun. Tak siapa mampu sembunyi dari
keperitan intipannya ~ lemas seluruh tubuh diramas
rakus peluh keresahan

Bangunlah, orang-orang yang berselimut dari dengkur
kesiangan. Matahari pagi ini, akan terus mengintip kita!

ONN ABDULLAH
Ipoh
2006.

MELENTUR REBUNG


Melentur buluh pada rebungnya
melentur rebung pada akarnya
melentur akar pada diamnya
melentur diam pada akalnya
melentur akal pada ilmunya
melentur ilmu pada katanya
melentur kata pada lidahnya
melentur lidah pada hatinya
melentur hati pada takwanya
melentur takwa pada imannya
melentur iman pada amalnya
melentur amal pada ikhlasnya
melentur ikhlas pada diamnya

dalam diam
rebung yang diletur
tetap subur menjadi buluh
dibaluti miang yang kukuh

ONN ABDULLAH
Majalah Nur
November, 2006

MAIN-MAIN TANAH


Di bangku kecil kau main-main tanah
tanah pasir menjadi kediaman indah

nyata tanah adalah sebahagian dari kita
kejadian tercipta Adam insan pertama

tidak akan dapat melarikan diri pada tanah
kemana jua melangkah ke tanah juga pasrah

burung gagak bercakaran mati jadi iktibar

penggali kubur melempar jasad tanah
tanah nanti akan jadi persemadian abadinya

dari asal pergi kepada asal tanah misteri
main-main tanah ~ tanah nanti jadi saksi

ONN ABDULLAH
Forum Perdana.
1 Februari, 2005

MAIN-MAIN API


Lidah api yang marak
terdiam nyala di mulutmu

api di luar meramas sepi
panas api di alam jeram diam

tubuhmu adalah jeram dingin
api di luar mengusik ingin

kau main-main api
api yang kau didik indah nyala

dari kecil jadi kawan yang pintar
api di jamung besar lawan membakar

main-main api dijeram tubuhmu api
jangan sampai marak membakar diri!

ONN ABDULLAH
Buletin, Ipoh.
2004.

MADRASAH TARBIAH


Usah persiakan kesempatan bulan keberkatan
menanam benih cinta keikhlasan bulan kerahmatan
memetik bunga-bunga syurgawi bulan keampunan
mengkaji bahasa yang lembut ~mentafsir kalam
yang indah di rumah-Nya yang suci

kita pun terlalu hampir dengan-Nya
pasrah dan taqarub setulus jiwa
bernaung di bawah payung kukuh
ramadhan madrasah tarbiah
setelah sebelas bulan mengheret langkah
yang lelah,~ tersadung duri alpa
yang luka ~ terpijak perangkap nafsu
yang hampa ~ menggenggam kertas derita
yang gelap ~ mendakap debu noda
yang songsang ~ leka bersandiwara
yang pasrah ~ al-hamdulillah
ramadhan al-mubarak bulan seribu kenikmatan
bersama rindu dan cinta dalam sujud, munajat, zikir
dan tahmid mencari keredhaan-Nya, membersih diri
melentur jiwa dalam darah, roh, jiwa dan nafas

di pintu keikhlasan kita tunggu
menjelma dalam jiwa merdeka
menjelma dalam darah yang berkobar
menjelma dalam nafas yang kudus
kita perbanyakkan kalimah tayyibah
beristiqhfar serta berdoa
agar terlindung dari kesiksaan
azab neraka yang dahsyat!

ONN ABDULLAH
Dewan Sastera

Oktober, 2006.

LAUT SEBUAH TEATER


Laut sebuah teater yang dahsyat
di pentas saujana antara tarian ombak ganas
dan gelora nafsu serakah di tebing hayat
tercetus insaf dalam kerdil diri melamar hakikat
bagai perahu kecil menyusur arus cekal
layarnya terkembang direstui rentak angin
nelayan tua adalah pelaut yang hebat
menabur pukat cinta membongkar rahsia
laut mutiara kehidupan ~ di tengah arus samudera
mereka menjiwai watak dengan ketangkasan amal
bahtera menaikan sauh meninggalkan pangkalan
bunga buih tumbuh di hujung biru ombak berkejaran
menerjah dinding perahu kecil menunda arus pedoman
permaidani laut terbentang sayup menatap takjub
laut dan langit bertemu di layar harizon yang indah
tercipta damai dari warna lembayung senja
dan pelaut terus menjelajah jauh dunia cinta
melayari kehidupan.

ONN ABDULLAH
Antologi Puisi Laut.
10 Ogos, 2004.

LAUT BUKAN LAUT


laut bukan laut, laut janji ~ lautan api
laut bukan laut, laut kelam ~laut masaalah
laut bukan laut, laut persona ~ laut nafsu
laut bukan laut, laut yang hebat ~ laut akal
laut bukan laut, laut yang asyik ~ laut cinta
laut bukan laut, laut yang jauh ~ laut kenangan
laut bukan laut, laut yang dalam ~ laut kesepian
laut bukan laut, laut yang gelora ~ laut dendam
laut bukan laut, laut yang indah ~ laut impian
laut bukan laut, laut yang dekat ~ laut kematian
laut bukan laut, laut yang tenang ~ laut keimanan
laut bukan laut, kalau laut tetap laut!

ONN ABDULLAH
Antologi Puisi Laut.
Ogos, 2004.

KUNCI


Ini kunci rahsiaku membunuhku
jangan kau sia-sia rahsia ini, rahsia yang
menghapus angkuhku ~ rahsia yang merobek
suku-sakatku yang degil lagi jahat lagi pendusta
dengan lidah kau boleh bunuhku dari bersihnya hati
sucinya peribadi adalah rahsia yang bukan rahsia demi
melebur jiwaku melumpuh egoku biar mati terbuntang
hancur jadi debu biar tubuh dimamah gaham bumi
hangus dijilat neraka ngeri ~ biarkan punah sepunahnya.

ini rahsiaku dari kunci yang tersimpan lama
cuma lafaz zikir demi zikir di bibir di tabir siang
sepi dinihari dengan lidahmu menyebut-Nya dengan kasih
dan cinta. masa terluang terus sambung tulus benang-benang
zikirmu usah sampai membelit sedarmu dengan zikir itu
bisa hancur luluh hangat jasadku dalam bencimu,
tak akan berdosa bunuhku tapi berdosa jika kaubiarkan
aku menguasai mindamu yang hebat lagi dahsyat jiwamu
tanpa sedar kaulakar dosa demi dosa di pintu hayat
lalai dan alpa dari hasutan onarku.

rahsianya solat dan solat taubat nasuha dalam istiqhfar
tak putus-putus menghancur luluh kejiku malah terhapus
titik hitam di hatimu yang karat berdebu pada keikhlasan
sedekah jariah amal solehmu kerana tangan yang memberi
lebih baik dari tangan yang menerima pada kerdil insan
yang merindui bantuanmu

demikian telah kubuka sagala rahsia namun masih
enggan juga umatmu membunuhku, Muhammad!
sumpah aku tak mampu mendustaimu tapi sedia
menipu umatmu yang telah kutipu sejak ribuan abad
lewat Adam dan Hawa bermain sandiwara cinta di syurga
kerana engkarku, jangan biarkan aku hidup lagi, bunuh
segera daripada kuncinya~ kunci yang boleh membunuhku!

ONN ABDULLAH
Dewan Sastera
April, 2005

KATA ROH

Aku melihat
diriku telah tiada
dipanggil oleh takdir-Nya

Aku melihat diriku disucikan
disiram haruman mawar seluruhnya
dikafan bersih putih kegemaranku
dulu aku lakukan sendiri sebagai hamba-Nya
rutin amanah insani ~ kini diriku kaku
disembahyangkan atas kerelaaan fardu

Aku lihat diriku telah diusung
ke tanah tumpah tanahku
tempat asal kejadian pertama
aku tetap abadi dalam genggaman-Nya
tapi diriku dihantar pulang
sebelum aku dijemput datang

Aku nanti akan pergi dari sini
dan menanti diriku di sana
suatu tempat saujana alam misteri
kancah perhitungan yang benar
sejarah abadi insan bermula kehidupan
di riba nikmat atau selamanya
di pintu azab!


ONN ABDULLAH
Ipoh
2006

JANGAN, JANGANKAU

Ke laut jangan kauturun serkap jerung yang tidur
celahan lumut hidup yang sepi dengan riak gelora
kaujampi harapmu dengan impian yang angkuh
kaubiarkan sedulang resah di dada sang isteri
yang kecamuk dalam penantian jangan kaupukat
serigala jantan yang liar di taman rimba yang hangat
penuh batu pejal yang degil ingin kauruntuh dari mantera
dirimu yang kalut seribu dendam menyala di lidah api
yang pekak dan nanar kaujolok dengan seranah dendam
dalam kalut cinta~ jangan kutip seribu kerikil yang tajam
dijalanan jadi duri menikam ketulan daging beku takkan
mampu kaucuci titik-titik hitam yang karat tanpa risik suci
memecah acuan kedegilan di puncak cinta yang utuh
sendat debu jahil jangan kauseru pelesit jantan hitam
mengosongkan lumut resah di pundak yang liat digayuti
seribu setan yang menggilai atas kegagalanmu mengikis
sombong yang pekat jangan kau ke tanah lembah
jangan kausemah dengan darah jangan kautuba seribu
teka-teki bianglala puaka jangan wujudkan lagenda
baru yang kausumpah pada dendam yang tumbuh
pada segala- segalanya: jangan, jangan kau bertuhankan
Tuhan yang bukan tuhan!

ONN ABDULLAH
Dewan Sastera,
Oktober, 2005

INSAN KAMIL

Jantung yang berdenyut adalah keluhcinta
rindu bersalut kasih seribu asyik pada-Nya

Di lurah jiwa tumbuh mawar kesyukuran
tanda keabdian dari nikmat anugerah-Nya

Tiada hentinya dia berkelana di pulau solihin
mengutip zikrullah, mengisi sunnah batin rindu

Mencari diri dalam jejak kepastian hakikat
di puncak zuhud meneroka alam makrifat

ONN ABDULLAH
Ipoh,
2006

INI RUMAH KEKASIH KITA

ini rumah kekasih kita
berteduh seketika
tinggalkan selipar angkuh
di kaki tangga
ruang anjung mesra siap terhidang
santapan rohani yang unik
dengan minuman lazat zikirnya
merawat cinta kasih yang lara

ini rumah kekasih kita
sejadah maruah terbentang indah
jangan taburkan batu-batu sengketa
tidak juga pasir-pasir fitnah
yang merosakkan akidah
jadilah jemaah penuh hati suci
tidak retak tidak pecah
seperti kristal kaca
gemeresik iman seri indah cahaya

ini rumah kekasih kita
petiklah bunga-bunga syurga
dari pohon ilmu dan tazkirah
kerana di sini
ada taman firdausi
yang tersembunyi.

ONN ABDULLAH
Dewan Sastera
Oktober, 2005.

DUNIA RUMAH TANGGA

Indahnya alam seribu asyik
titian kasih kemilau jernih
hujung rindu bersemi cinta

bunga-bunga setia terserlah
harum damai taman perkasihan
dia memetik rela kuntum nikmat

bahagia di tangga kurnia
sebalik tabir diintai pesona irihati
dia memanjatkan bening doa

keberanian adalah bahasa jiwa
merempuh belantara hayat
dia pasrah dalam jejak hijrah

pergolakan tercetus api duka
rantai iman pengukuh diri
dilentur sabar ketentuan ilahi

ditangan takdir,
rahsia kasihnya tersembunyi
derita yang bahagia
bahagia yang derita
hidup dan mati
milik-Nya abadi!

ONN ABDULLAH
Antologi Istana Kasih
Ogos, 2005

DUNIA DI ATAS KERTAS

Dunia di atas kertas mudah terbakar
seperti daun-daun kering sepi terbiar

hangat bertebaran debu-debu hitam
hinggap lekit pada wajah melakar dendam

manusia terlalu bijak dan celupar kata
dalam diam melempar akal di sudut cela

resah jiwa celaru mengusik tali nanar
terlantar ngilu sudahnya merobek sabar

api amarah jadi lahar nafsu yang keji
segala amal tersia-sia di hujung jari

dunia di atas kertas cepat terbakar
dari tangan dosa yang menyala!

ONN ABDULLAH,
Dewan Sastera,
Oktober, 2005.

DI TANAH KERAMAT INI

Telah merdeka kita
pada kasih dan jiwa
pada kata dan bicara
pada gerak dan tindak
di tanah keramat ini
kita hulur jiwa kudus pasrah
dalam ikhlas mengatur langkah
bersama genggaman tekad jiwa perkasa
meneruskan cita tegar anak bangsa

Di tanah keramat ini
kita semai benih bahasa yang luhur
biar subur alam tercinta
dengan pohon kasih sayang
agar hidup berkah dan tak tercalar maruah
kita isi dengan pengertian berfaedah
jika jadi ayah ~ jadi ayah pengasih
jika jadi ibu ~ jadi ibu mithali
jika jadi anak ~ jadi anak soleh
jika jadi sahabat ~ jadi sahabat sejati
jika jadi suami ~ jadi suami yang adil
jika jadi isteri ~ jadi isteri yang solehah
jika jadi pemimpin ~ jadi yang berjiwa rakyat
jika jadi manusia ~ jadi manusia
yang punya harga diri

Di tanah keramat ini
dengan kematangan akal bijaksana
kita lakar landskap bahagia
untuk teruskan perjuangan
demi pembangunan insan!

ONN ABDULLAH,
Ipoh.
2006

DEKLARASI WARGA TERCINTA

Telah diturun-Nya rahmat bagi seluruh alam
dan kita dituntut memakmurkan sejahtera
dengan kebijaksanaan penuh iltizam
kita asuh kesabaran menjernih matafikir
mentafsir kembali tiap langkah dan tindak
dalam jiwa merdeka yang tegar
membina bahtera hayat semurni kata
kesatuan hati melakar landskap bahagia

Telah terlalu jauh perjalanan ini
kita cari makna hidup yang hakiki
sambil mengatur kematangan dengan restu dan doa
bersama gandingan semangat kukuh seteguh karang
sebagai warga gigih membina kecemerlangan
tanpa ragu tak mengenal riak kecewa
agar laman damai kekal di puncak nusa

Hujung waktu di musim cekal penuh ceria
kita terus genggam tekad mengukir nirmala cita
pertahankan maruah menjulang martabat
melafaz ikrar tak tergelincir dari batas makna
kita pahat piramid azam melakar peta perjuangan
dedikasi indah teruskan kegemilangan!

ONN ABDULLAH
Antologi Puisi Sahabat Sejati
Ipoh.

DEKLARASI KEMERDEKAAN

ini bukan medan insani leka merawat cinta
ini adalah sanggar saujana taman maruah
hamparan penuh ujian maha getir
menebus kesilapan dan menggilap peribadi
dalam keikhlasan nurani penuh seluruh
menyelak album diri dalam tafakur yang jauh
dari garisan cakerawala yang indah
dan melakar rindu iltizam perwatakan sejarah

musibah apakah yang meledak bumi jadi sengketa
hingga cermin kehidupan pecah berderai
seluruh jiwa tersula menahan pedih derita
dan leher bangsa terkelar pedih
kita terusir jauh bagai murba tak bermaruah
sembunyi di rimba diri terketar di gua masalah
hingga bertebaran bagai batu melata

tanyakan pada hati: adakah takut mati?
tanyakan pada jiwa: arah manakah distinasi?
tanyakan pada akal: adakah cuma bertawakkal?
tanyakan pada bangsa: akan merdekakah kita?

kita pasti merdeka! ujar lelaki perkasa
lelaki perkasa tak rela kehilangan bangsa
lelaki perkasa tak rela agama dipersenda
lelaki perkasa tak rela jadi budak hamba
lelaki perkasa tak rela bertuan bangsat tercela
lelaki perkasa rela kehilangan arca dan cinta
lelaki perkasa rela kehilangan ladang dan bendang
lelaki perkasa rela kehilangan kasih dan sayang

demi kemakmuran daerah tercinta
lelaki perkasa rela menelan pasir kata
dalam tuduh derhaka!

peti hayat derita yang terkuci sekian lama
akhirnya terbuka: bergema laungan merdeka
merdeka! merdeka! merdeka!
tapi sudah merdekakah kita dengan hanya
pekik raung penuh tegar dalam pengertian entah apa-apa
tanpa rasa pengisian makna yang diuji pada janji
seperti di petak-petak silangkata terbiar oleh akal yang cela
di kesempatan ini sebelum memuncak kesibukan
aturkan buahfikir dalam nafas kesabaran
rajutkan tali ingat ~ muhasabah diri mengisi nirmala cita
dalam tulus mengikut logik akal di antara puncak kelam
dan menegak songsang wujudkan istiqamah dalam iktikad diri
agar jaring keliru menutup ruang terserlah indah
ruang-ruang kosong penuh kegelapan ini akan kembali ceria
disaluti mutiara indah cahaya!

ONN ABDULLAH
Antologi Jamung Merdeka
2005

CERITA TENTANG DOSA

Angin kering menusuk dari sisi
menyelinap halus menyentak naluri

dan debu hitam itu jadi titik-titik noda
hingga mata hati tertutup oleh karat alpa

begitu tercacak bukit kejahilan
dalam dirimu
hingga tak mampu melihat kebenaran
dan kau sekadar menepisnya dengan tangan
tanpa lidah yang basah dengan zikir kasih
kerana jiwamu telah kering oleh kenanaran
dari fitnah yang lewat itu, demikian
penaka seruling kelalaian yang nyaring
melunakkan impianmu yang tegar.

Ada ketikanya kautepis
dengan ulas senyuman manis
menghalaunya seperti seekor langau
yang hinggap di mancung hidungmu
seperti tak ada apa-apa engkau ini,
sahabatku, aku takut kelamaan nanti
matamu akan terus tertipu
oleh keindahan dunia yang fana’
dan terlupa terus jadi manusia.

ONN ABDULLAH
Dewan Sastera,
Oktober, 2005.

GURINDAM BULUH

Buluh yang rendang itu belakang rumah ayah
melambai permai pucuknya menyentuh indah

sesekali bergesel tubuhnya terhimbau irama sayu
resah hati orang tua dari bisikan merdu sang perindu

lelaki perkasa yang hebat pada ajal tersungkur rebah
tajam buluh runcing menusuk kebal alah jampi serapah

pada ceritera sejarah melayu telah lahir sang putera
anak buluh betong yang kacak jadi sebutan buana

rakit buluh berlabuh tenang di hujung muara
sebelum direntap peraih sebagai bahan karyaneka

musim lebaran buluh lemang jadi rebutan seluruh
tak ketinggalan anak desa ribut dengan meriam buluh

buluh tetap buluh dibelah halus diraut cermat
dilentur cantik jadi wau indah penuh nikmat

buluh yang tumbuh melata adalah mahsul istimewa
tercipta dalam seribu guna melakar impian manusia

dari pukulan nasib terkapar lemah seekor ular bisa
dengan sebatang buluh dari seorang tua tak berdaya

melentur buluh, biarlah dari rebung namun takdirnya
rebung menjadi buluh diselimuti miangnya yang kukuh!

ONN ABDULLAH
Ipoh.
2006.

BENANG-BENANG KUSUT

benang-benang kusut
jaringan akal yang serabut

tidak mudah mengayam cakerawala
tatkala berdiri pada detik sukar

kita duduk tafakur mengukuhkan peribadi
menitip kudus rindu dalam zikir munajat
istiqhfar cair di bibir bersih
penuh cinta dalam sabar

kita petik kuntum ikhlas di ranting amal
terjalin bunga iman yang wangi
pada makam nafsu yang teruji

tiada yang mustahil bagi-Nya
benang yang kusut dilerai kematangan
dewasa fikiran dalam wasilah kehidupan!

ONN ABDULLAH
Dewan Sastera,
Oktober, 2005.

BAHTERA BAHASA

Kita layari bahtera bahasa
setangkas nakhoda perkasa
di lautan segara
menitip rempah ratus keimanan
dagangan unik geliga akal
ke pengkalan kemanusiaan

Kita terus sabar dan yakin
meredah ombak nusantara
merentas gelombang globalisasi
dengan muatan aksara kasih mencerna budi
dengan mutiara ilmu melakar pengalaman
merealisasikan cita dan nirmala impian
sepanjang warna kehidupan

Bahtera bahasa kita
biarkan layarnya terkembang
menelusuri jejak-jejak silam
pendita tersohor khazanah peribadi
wadah ilmuan yang sukar terpadam
di arca telah terpamir mercu tanda
yang tiada tandingan
mari kita harungi taufan cabaran
usah hiraukan cakar hujan dan sihir taufan
kerana di puncak hasrat tersembunyi
rahsia dunia tanpa sempadan!

ONN ABDULLAH
Ipoh.
15 Jun, 2006,

BAHASA SEKELIP MATA

Bahasa sekerlip mata
adalah bahasa rahsia

Bahasa rahsia
adalah bahasa cinta-Nya

Bahasa cinta-Nya
dalam genggaman kata

dalam genggaman kata
Kun Fayakun!

ONN ABDULLAH
Buletin,
2004.

Thursday, July 31, 2008

BAHASA NURANI

Bahasa nurani
lembut nan murni
indah lagi santun
lahir dari jiwa
bersih dan suci

Bahasa nurani
sejernih kolam fikir
sesegar taman iman
sesubur kebun takwa

Bahasa nurani
perbendaharaan kata tepilih
citra keluhuran peribadi cinta
dalam kesibukan bicara
lidahnya mengekalkan diam
pada yang mungkar!

ONN ABDULLAH
Ipoh,
2005

API DI ATAS TANAH

Api di atas tanah membahang nyala
marak meratah segalanya penuh riak
dengan angkuh ribut dendam

Sumpahnya gelegak api yang gila
membakar jasad tanah dari janji derhaka
pada asal tanah dibenci biar remuk jalan cinta
hingga lumat dipijak dengki nafsu puaka.
Tanah yang dibekal mutiara akliah hidup insani
Khalifah bumi tumbuh api cemburu~menghancur
luluh semangat cinta jadi tebal debu jahil biar keras
jiwa. Merah bibir melontar fitnah, kelabui mata
hingga tanah hangat pijar tersungkur resah tak silu
melakar jaring leka~ meniti alpa semahunya.

Asap melingkar puas jelaga menusuk
tanah seluruh rentong jadi abu
alam kehidupan!

ONN ABDULLAH
Ipoh,
2006

API DI ATAS API

Api di atas api marak benci membakar ngeri menusuk hati nurani
meratah seluruh tubuh merusuh [Api] dalam diri tanpa disedari
hati jadi riak dan takbur jadi [kAu] hairan akan dirinya segala
amal baik dilengahkan pada nyala lidahnya hamba goda biar
hebat serta bijak memutar [Api-kAu] tali dusta, ligat mencela
umpat-mengumpat, irihati jadi ngeri dengki kianat, adu-domba
pada siang malam, pagi [diA juga kAu] dan petang hingga ralit
alpa mencintai dunia taat dan warak lupa akan akhirat culas
pada solat hanya enak tapi [Api nyala kAu] mengisi nikmat perut
tegar menderhaka panas marak gelegak begitu jiwa dilalaikan
cari harta benda dari dendam sejuta riak emas, perak berlian
dan segala hasil akhir dengki [kAu] dilaknati mahsul riak belanja
pada jalan yang kerana [kAu] bukan asal tanah sia-sia dan haram
hamba hasut hanya [Api] lalu terbakar engkar manusia biar diri
terpesong demikian tegar [kAu] pilih derhaka imannya hancur
maruahnya memadam taat dari sujud kebenaran ganas nafsunya
terpukau [kAu pun jadi diA] matahatinya
rakus membisik menggoda ia meneguk
mabuk memesong akidah anak cucu seru bakar nafsu biar lemah
akal menyuntik akal mengusut benang-benang cinta fikirannya
dan pada liku-liku sesat demi sumpah janjimu pada-Nya hilang
malu kerana [kAu] bukan lagi siapa-siapa hanya kerana [kAu] & takut
lalu adalah adalah dibisik
api [ApiApiApiApi ApiApiApiApi] api
kasih biar kemaruk cinta dalam dendam api berahi yang asyik hingga
rela melakukan …. dan terus terjerumus mengikut acuan hamba agar
naluri cintanya terus terhijab pada pintu kebaikan biar sukar berpatah
kembali ke pangkal jalan dan tatkala ia waras ingin kembali taubat
maka hamba galang hatinya untuk bertangguh dengan sekeras-keras
goda agar terus menjadi pengikut hamba yang fasik dan ingkar pada
menegakkan tiang amal ~ terus bergelumang di lembah kemungkaran.

ONN ABDULLAH,
Dewan Sastera,
Julai, 2006.

API DALAM CINTA

Apa api yang kaucari
di tabir samar yang asyik
kala kausentuh
api panasnya tetap di hujung jari
saat nyalanya tetap membakar semula jadi
takkan mampu ditukar jadi dingin salji
api tetap api pada rentak dan sifat
sedia meratah diri ~ api dalam cinta
hangat membara
pada maraknya akan rentung diri
lebih panas dari api ~ jauhkan diri dari api
kerana api adalah cebisan
bunga-bunga lara
yang tumbuh dari kawah neraka.

Namun api cintaku pada-Mu
biar luluh akan terus kunyalakan

ONN ABDULLAH
Berita Minggu,
16 April, 2006.

API DI ATAS AIR

api di atas air
sketsa diri di tangan pelukis,
terasa amat damai
menatap lakaran abadi

riak air berkocak
takkan padam nyala api
wujud berselerak pelangi pagi

dialah pelukis kerdil itu
yang diasuh melalui benang akal
mengikut ketentuan-Nya

api! api! api!
api amarah menjadi sejuk
disirami pasrah air wuduk!

ONN ABDULLAH
URTV.
2.8.2004.

ANU

Anu itu bukan apa-apa
walau ada kata disebalik kelibat anunya
tapi tak sedikitpun menggugah rasa
anu bukan bahasa kesat atau celupar
pada anu itu bukan sesuatu yang kurang ajar
dalam kesamaran terbayang hanya yang jelik
terasa bagai keanihan yang bukan melucukan
dan tidak juga wangian yang mengasyikkan

Seringkali anu itu segaja dianu-anukan
jadi ejekan yang menghiburkan
di mata akal tersasul rentak anu itu
tanpa disedari dalam latah amat digemari
sehebat mana di hujung mesra ada anu
apalagi terkejut dijerut geram berlambak anunya
lirih apa menerpa hingga terjelir lidah
berkongsi ramah lalu disusuli dekah
terjelma anunya jadi lumut masalah
bibir resah jadi gundah dalam amarah
anu pun jadi topeng budaya di wajah
tersentak mengulum senyum ~ anu
terkedu tergigit lidah ~ anu
natap keajaiban ~ anu
menjerit ~ anu
aduh ~ anu!

ONN ABDULLAH
Ipoh,
20 Disember, 2006

AL-KHAUSAR

Di remang subuh fajar yang kazib
tersentak kalut dengan mata binar
menghafal igauan yang pecah di hujung kejutan
terkesima ragu menyingkap lantera perih itu
seakan tersiat dinding kemanusiaan
dalam helaan nafas kelinglungan

Pada tanah yang menghimpit seluruh jasad
adalah segenggam tanah kewujudan asal
tercatuk melata bak cendawan putih yang bangkit
mencari arah penuh debaran menuju pada yang satu
meraba jalur cahaya dari inayat-Nya
dan tulus syafaat baginda Al-Amin
di peterana keadilan rimas resah berbaris hamis
menanti giliran menghampiri telaga jernih itu
terasa semakin jauh biarpun amat dekat
sesayup gaung tak terjangkau hasrat

Seharian nisbahnya setahun perjalanan
seteguk membasah tekak ~ bisa terhindar jerih derita
biar mentari sejengkal, akan terhapus seabad dahaga
sekerlip mata tercium atar hikmah
segala mudah dalam redha-Nya!

ONN ABDULLAH
Ipoh.
2006

RAMBUT DIBELAH TUJUH

Sehelai rambut dibelah tujuh
tak terbaca rahsia yang ampuh

Sehelai rambut dibelah tujuh
enggan ditempuh tapi tetap patuh

Sehelai rambut dibelah tujuh
tergelincir ngeri ditrenta[ azab

Sehelai rambut dibelah tujuh
tabah muttaqin meluncur kilat

Sehelai rambut dibelah tujuh
sebuah titian takdir yang pasti

Sehelai rambut dibelah tujuh
ujian janji siratulmustaqim

ONN ABDULLAH
Dewan Sastera,
Mac, 2007.

KAYU, ANAI-ANAI & SI ABID


~kau tolakku ke bawah, kata kayu
pada anai-anai.
~akupun jatuh lalu menimpa
belakang si abid yang rukuk.

~rumahku sudah reput, tak mampu
bertahan lagi, ujar anai-anai
yang begitu sedih kerana kelalaiannya.
~maafkan aku atas kesakitan tuan,
kata anai-anai pada si abid.

~oh, tidak mengapa,
aku tak terasa sakit pun
kerana terlalu asyik
dalam kelazatan sembahyang,
alhamdulillah!
lalu mengumpul kayu-kayu reput
dan mengutip anai-anai
yang pertempiran lari kerana ketakutan!

ONN ABDULLAH
Dewan Sastera.
Oktober, 2005

CERITA AKAL BUDAK

Bukan apa-apa budak ini
sekadar mencairkan sedikit duka
pelik baginya tubuh rapuh jadi pagar
menentang nafsu puaka
dari secebis akal mulia jadi hina
sejambak budi relai dari tangkai jiwa
sempurnalah sebuah kisah sejarah
kecetekan akal seorang sultan
dan kedengkian pembesar istana
tercurah licin hasutan,
menitah sehebat anugerah
kebijaksanaan seorang Nadim
dengan hukuman bunuh!

ONN ABDULLAH,

Dewan Sastera, April, 2006.

Wednesday, May 28, 2008

BIODATA ONN ABDULLAH

ONN ABDULLAH adalah nama pena Abdullah Hj. Mohd. Samsuddin. Beliau dilahirkan di Kampong Gajah, Perak. Mula menulis sejak di bangku sekolah lagi, tapi menceburkan diri dalam ujana kesusasteraan tanah air pada awal 80-an. Beliau menulis dalam genre: Puisi, Cerpen, Esei dan Novel, Juga seorang pelukis.


Hasil karyanya telah tersiar di pelbagai Akhbar dan Majalah Hiburan dan Sastera seperti Utusan Melayu (M), Mingguan Islam, Forum Perdana, Berita Minggu, Al-Islam, Dakwah, Sarina, Sinar Zaman, Koleksi, Citarasa, Jelita, Ummi, URTV, Muslimah, Dieges Malaysia, Jendela Utara, MASA dan Dewan Sastera. Karya- karyanya yang telah dibukukan antaranya Koleksi Penyair Muda Malaysia (1987) Kumpulan Esei Bandara Ipoh (1988), Pasir Salak Bumi Pahlawan Melayu( Yayasan Perak-1993) Suratan (Antologi Cerpen-2000) Danau Hati ( Antologi Puisi- 2000 Khazanah Karyawan Perak ( 2002 ) Antologi Perang Lakaran & Puisi - YKP-2003), Antologi Puisi Laut (2004) Tsunami (2005), Antologi Istana Kasih - 2005, Matang Di Bumi Larut ( 2005), Jamung Merdeka ( Gapena-2005 ) Ratip 1000 Syair ( Gapena -2005) Gema Membelah Gema 15 ( Gapena 2007) Sumpah Daerah Perjuangan ( Antologi Cerpen-2007)Antologi Puisi ‘Istana Kasih 2’ (2007) Manakala Kumpulan puisi Onn Abdullah ialah MUTTAQIN ( 2002) kumpulan puisi keduanya’ QASIDAH NURANI’ dengan 8 Sketsa ( dalam Proses penerbitan)

Telah memenangi berbagai anugerah seperti Hadiah Pertama Cerpen Pentas (1987), Hadiah Sastera Darul Ridzuan 1 ( Penghargaan Puisi- 1985) Hadiah Ketiga Cerpen Islam Maulud Nabi Negeri Perak (1988) Hadiah Ketiga Esei Ipoh Bandaraya (1988), Hadiah Pertama Puisi Malaysia Bergerak Bersama Negeri Perak (1990) Pingat Jaksa Kebaktian(PJK) 2003, Anugerah Penyair Perak (2004) dan Tokoh Muda Pentas 2005. Hadiah Kedua Puisi Minggu Bahasa (2007) anjuran bersama DBP (Wilayah Utara ) Pejabat Kebudayaan & Kesenian Ipoh dan Persatuan Penulis Ipoh ( Pintar) dan Hadiah Ketiga Peraduan Menulis Cerita Sejarah (2007) anjuran DBP ( WilayahUtara) & LEPAS. Sekarang bertugas di Pejabat Tanah & Daerah Perak Tengah, Seri Iskandar, Perak.