Friday, August 29, 2008

Suara Anak Merdeka

Merdeka bertanya pada hati, benarkan aku sudah merdeka?
merdeka itu apa? tanyanya pada hati yang masih mencari diri
apakah merdeka itu seperti burung beterbangan di angkasa raya
apakah merdeka itu seperti serigala riak menyalak gunung berapi
apakah merdeka itu seperti si musibah memekik tanpa ketahuan bahasa
apakah merdeka itu seperti haiwan yang bisa bercumbu di mana saja
merdeka itu apa? kenapa merdeka itu sama seperti nama aku yang tertulis
dalam kad pengenalan yang telah setengah abad kusimpan dalam poket
seluarku yang kian lusuh. Merdekakah aku kerana namaku merdeka ?

Tiap muncul ogos aku terpanggil diraikan dalam majlis merdeka kerana
nama kami merdeka maka merdekalah kami bersama slogan indah
yang riuh dihebohkan bersama sejuta kemegahan yang dirayakan
dengan aneka perubahan yang cukup menakjubkan dan serentak lagu
dan muzik merdeka dimainkan ~ jalur gemilang megah berkibar.

Jauh di belakang tabir tanpa disedari banyak hati tercicir dan kakikaki
tergelincir, tak siapa peduli tentang maruah yang tercalar, iman yang
terbakar ~ seribu mungkar menjalar ~melingkar bagai ular
dan ribuan mata menjadi jalang dan tak jumpa jalan pulang.

Siapa mampu menyatakan makna merdeka~ sedang hati nurani terpenjara
di damir jiwa yang terlontar hiba meraba jalur cahaya yang tak pasti
akhirnya lelah tercungap melakunkan drama bernama MERDEKA
begitu tertidur dalam mimpi merdeka yang bukan apa-apa!

ONN ABDULLAH,
Kg.Tawas, Ipoh.

seorang meminta aku menulis tentang dirinya yang
bernama merdeka…akupun tulis puisi ini untuk dirinya….*

Thursday, August 21, 2008

RAMADHAN AL-MUBARAK

Bagaimana mahu menjadikan Ramadhan kali ini yang terbaik dan bermakna? Kata Abu Hasan, sebagai manusia kita harus mengingatkan diri kita bahawa mungkin ini adalah Ramadhan terakhir untuk kita, esok memang masih ada tetapi sebagai manusia, kita belum pasti dipanjangkan usia esok. Oleh itu, ambillah peluang ini untuk melakukan 3 perkara utama:

1. Mendekatkan diri kepada Allah dengan selalu menyebut nama-Nya, membaca Al-Quran dan melakukan ibadah khusus yang lain.

2. Tazkiyatun nafs ( menyucikan diri) iaitu antaranya banyakkan istighfar dan mengingati kebesaran Allah.

3. Muhasabah diri iaitu menilai semula hubungan dengan manusia dan dengan Allah

Sumber: Majalah an-Nur.

Tuesday, August 5, 2008

SUNNAH RASUL

Dr Jamnul Azhar memulakan syarahannya dengan membawa para hadirin memikirkan sejenak dengan hadith yang maknanya sedikit sebanyak "Dalam diri-diri kamu ada kebesaran Tuhan". Doktor menyuruh kita melihat kedua tapak tangan dan perhatikan garis-garis di tapak tangan kita. Garisan-garisan di tangan kiri menunjukkan angka 8 dan 1 dalam Bahasa Arab dan tangan kanan 1 dan 8 dan membawa ke jumlah 81 +18 = 99 iaitu bilangan nama Allah. Berikut adalah antara intipati syarahannya secara ringkas:-

1. Cara makan, kenapa kita gunakan tangan? Mengikut cara Rasulullah s.a.w. , beliau akan menggaulkan lauk dan nasi dengan tangan kanannya dan kemudian membiarkan sebentar, lalu Rasullah saw akan mengambil sedikit garam menggunakan jari kecilnya (kelingking) , lalu Rasullah s.a.w. akan menghisap garam itu. Kemudian barulah Rasulullah makan nasi dan lauknya.

Mengapa? Kerana kedua belah tangan kita ada mengeluarkan 3 macam enzim, tetapi konsentrasi di tangan kanan kurang sedikit dari yg kiri. Ini adalah kerana enzim yg ada di tangan kanan itu merupakan enzim yang dapat menolong proses penghadaman (digestion), ia merupakan the first process of digestion.

Mengapa menghisap garam? Kerana garam adalah sumber mineral dari tanah yg diperlukan oleh badan kita. Dua cecah garam dari jari kita itu adalah sama dgn satu liter air mineral. Kita berasal dari tanah maka lumrahnya bahan yang asal dari bumi (tanah) inilah yg paling berkhasiat untuk kita.

Kenapa garam? Selain dari sebab ia adalah sumber mineral, garam juga adalah penawar yang paling mujarab bagi keracunan, mengikut Dr, di hospital-hospital , the first line of treatment for poisoning adalah dengan memberi Sodium Chloride, iaitu GARAM. Garam juga dapat menghalang sihir dan makhluk-makhluk halus yang ingin mengganggu manusia.

2. Cara Rasulullah mengunyah - Rasulullah akan mengunyah sebanyak 40 kali untuk membiarkan makanan itu betul-betul lumat agar perut kita senang memproseskan makanan itu.
3. Membaca Basmalah (Bismillahirrahma Nirrahim). Membaca Basmalah sebelummakan untuk mengelakkan penyakit. Kerana bakteria dan racun ada membuatperjanjian dengan Allah swt, apabila Basmalah dibaca maka bakteria danracun akan musnah dari sumber makanan itu.

Cara Rasulullah minum.Janganlah kita minum berdiri walaupun ia makruh tetapi ia makruh yangmenghampiri kepada haram. Jangan kita minum dari bekas yg besar dan jangan bernafas sedang kita minum. Kerana apabila kita minum dari bekas yg besar,lumrahnya kita akan meneguk air dan dalam proses minum itu, kita tentu akan bernafas dan menghembuskan nafas dari hidung kita. Kerana apabila kita hembus, kita akan mengeluarkan CO2 iaitu carbon dioxide, yang apabila bercampur dgn air H20, akan menjadi H2CO3, iaitu sama dengan cuka, menyebabkan minuman itu menjadi acidic.

Jangan meniup air yg panas, sebabnya sama diatas. Cara minum, seteguk bernafas, seteguk bernafas sehingga habis.

Mengapa Islam menyuruh di sebat 100 kali orang belum berkahwin yang berzina, dan merejam sehingga mati org yg sudah berkahwin yang berzina? Badan manusia akan mengeluarkan sel-sel darah putih atau antibiotik yg dapat melawan penyakit. Dan sel-sel ini terdapat di daerah tulang belakang, berdekatan dengan sum-sum tulang manusia. Lelaki yang belum berkahwin dia akan dapat mengeluarkan beribu-ribu sel ini, manakala lelaki yang sudah berkahwin hanya dapat menghasilkan 10 unit sel ini sehari, kerana antara sebabnya ialah kerana sel-sel lain akan hilang kerana perhubungan suami isteri. Jadi apabila lelaki yang belum berkahwin didapati salah kerana zina hendaklah>disebat 100 kali.

Ini adalah kerana apabila dia disebat di belakangnya, suatu amaran tentang kesakitan itu akan membuatkan penghasilan beribu sel antibiotik yang dapat melawan virus HIV jika ia ada di badannya, dengan itu dapatlah antibodi melawan virus HIV itu. Tetapi jika lelaki itu sudah berkahwin, walau pun disebat 100 kali ia akan tetap menghasilkan 10 unit antibodi sahaja, jadi dengan itu hukumannya direjam hingga mati agar dia tidak dapat merebakkan virus HIV itu.

Itulah sedikit sebanyak inti syarahan yg disampaikan oleh Dr Jamnul Azhar.Harap ia akan memberi manfaat pada anda sekalian, dan sedikit informasi yang diberikan oleh Mudaris (guru) ana, Mudaris Iskandar mengenai Ka'bah.

Mengapa ia terletak di Mekah al-Mukarramah dan mengapa ia empat persegi cube). Ia terletak di posisinya sekarang kerana setelah dibuat kajian oleh para cendikiawan dari Pakistan dan Arab, didapati, tempat terletaknya Ka'bah sekarang itu, adalah betul-betul di tengah bumi. Mengapa ia empat persegi, ia melambangkan perpaduan ummah yang bergerak maju bersama, equality and unity, tidak seperti bentuk pyramid, dimana ia diumpamakan, seperti hanya seorang pemenang yg berada di atas setelah ia memijak-mijak yang lain. Dan antara lagi sebab mengapa 4 persegi melambangkan 4 imam besar, Maliki, Hambali, Hanafi dan Syafi'i, melambangkan kebenaran keempat-empat Imam tersebut.

Sekian buat renungan bersama, Fi amanillah Jazakallah

-Dari sahabat kepada sahabat untuk disampaikan kepada sahabat....

Friday, August 1, 2008

Gambar Kenangan

Anugerah Sastera Perak 2004.









Penerima Anugerah PENTAS 2005.









Anugerah Penulis PENTAS 2005 daripada D.Y.T.M. Raja Muda Perak.



























Majlis kunjung hormat AJK Karyawan Perak dengan Y.A.B. Menteri Besar Perak di pejabat Menteri Besar Perak.

USAH PERSOALKAN SIAPA KITA

Usah persoalkan siapa kita dari kehadiran benih insan
kerdil berjiwa besar penuh tegar atau tokoh tersohor
segak berhemah tapi bisa sembunyikan riak
dan lagak hanya pada angguk dan senyum menebalkan
lumut keangkuhan kerana yang dinilai pada diri adalah
kuntum keikhlasan dan bersihnya amal serta berani
menepis kemungkaran setia menegak hak ~ cekal menimbus
lopak-lopak kecurangan, selagi mana yakin dan redha
bernaung di bawah payung mukmin, hulurkan tekad
sefahaman ~ kita padamkan jalur-jalur kegusaran
yang keliru lagi menyesatkan, ayuh pamirkan keazaman
dan keberanian menentang agenda laknat yang dahsyat
yang segaja membangkitkan lahar prasangka yang lebat
terbenam di damir kepalsuan.

Kemarin dulu mereka telah melakar peta kebencian
tanpa selindung terus menikam tajam ke rusuk nurani
hingga orang –orang kita jadi nanar dan resah seri wajah
selamba menyimpan debar dalam selimut getik yang asyik
selainnya tunduk dan taksub pada kata: kita ini siapa,
ah! tak apa, biarkan saja ~ kita boleh buat apa? Namun
sinisnya ejekan dengan halus menggigit lumat rasa kecintaan
hidup bagai dibius jarum kerakusan yang tak terleraikan!

Kita diaibkan satu demi satu
penghulu kita direndahkan martabatnya
janggut, serban dan nafsu serakahnya, yang aneh dicerca
bangsa sendiri di dada polimek terbuka, kini ayam togel
Denmark mencakar di Jyllands-Posten dan berkokok
membingitkan telinga, segaja menaikkan amarah kita:
karikatur wajah junjungan dicanang
seluruh benua ~ jelas biadap mempersenda.

Mujahid Islam bangkit dengan rentangan sepanduk protes,
tapi orang-orang kita asyik tergelak dan mencicip enak
roti panas di gerai mamak protes hebat prestasi bola sepak
serta rancak protes ABPBH atau tersentak pada harga minyak
melambung tinggi lalu protes setengah mati!

Selemah-lemah iman hanya mengutuk di hati,
tak mampu bersuara cuma sumpah seranah berjela
sekuat-kuat jiwa sebagai penyair kita cipta gugusan puisi
lalu protes dengan cara kita, menghantar suara pekik
dan raung~ memukau dan membakar jiwa raga
dengan cara apa sekalipun, biar sampai matlamatnya
dan usah persoalkan siapa kita.

ONN ABDULLAH
Majalah Masa,
Jun, 2006.

TUNJUKKAN PINTU ITU


Telah
kucari pintu itu
pintu yang tiada jalan keluarnya
aku ingin masuk ~ aku tak ingin keluar
tunjukkan padaku ~ aku ingin segera masuk
ke pintu tenang kemilau cahaya tenteram
aku ingin terus iktikaf redha khalwat
cinta hingga menjadi lenjun seluruhnya ~ siramlah
dengan nur kasih-Mu hingga basah sujudku,
biarku basahkan lidahku dengan zikir-Mu
sungguh aku ini kelana yang telah bertahun kau kirimkan
bekalan ~ hingga tak tersentuh tanganku kerana
terlalu penuh dan melimpahruah ~ kenikmatan itulah
bekalan yang telah kusia-siakan kerana sedikitpun tiada
untuk bekalan diri jauh di sana
ingin kucari bekalan yang lain bekalan hakiki ~ bekalan
abadi
ingin kukecapi seluruhnya sari kelazatan
mawar cinta-Mu dalam zuhud putih bersih
tunjukkan padaku sebuah pintu
yang terbuka
tapi tertutup
tunjukkan
padaku pintu itu
kerana aku enggan
keluar dari pintu rahmat-Mu!
ONN ABDULLAH
Dewan Sastera,
September.2004.

TUKANG SIHIR

-buat As Suhaimi.

Langit yang suram menurunkan serbuk sunyi
ke laman jiwa ~ sunyi pun menjadi peta kasih
di tangannya bisa jadi kelopak bunga mekar harum
semerbak menusuk ruang mimpi insan leka yang lelap
di kamar rindu menitis-nitis airmata cinta terjelma
jadi mutiara dengan azam tak mengenal riak dan cuak
menjerit tanpa suara di taman surealisme tak terjangkau
makrifat mencari elit yang sembunyi di baju keraguan.

dia tukang sihir yang mahir dengan kental alam bahasa
rahsia tanpa ragu mentafsir ruwet menghimpit wajah lesu
mengusir tangan angan melakar puisi tak bernama hanya
tong-tong kosong tanpa isi dan gendang bunyi yang sepi
di longgokan sampah-sampah jalanan busuk dimamah kelu
lidah anjing tak mengenal bau, hanya tulang tanpa darah
najis sisa hapak ditatap bisu dengan mata celik yang nanar.

bertahun sudah meneroka rentak angin pada simpang-siur
hayat fikrah membelit akliah mengilap cita ~ kedewasaan
mengajarnya jadi insan bijaksana dengan cekal dan tabah
ia pun meniti laut sufisme yang jauh tapi dekat amat indah
dilambung gelora yang tenang tapi sayup tak bertepi!

ONN ABDULLAH
Dewan Sastera.
September, 2005.

TSUNAMI


Laut kehebatan-Mu melepaskan gelegak ombak
memutar gelora ke sayup raung ~ meramas keruh
laut bergulung. berkeliaran hidupan laut menjauhi
lubuk ~ kuatir sesat tanpa arah meredah pintu gelisah
terjebak kelam gementar seluruh mergastua~penghuni
damai pesisir pantai berarak debar tinggalkan hijau
pulau dari bisikan rahsia kasih bertasbih tercium bau duka
tapi ikan-ikan tanpa sayap mahu terbang ke laut apa? hanya
terlambung liar di sayap angin terhempas di sisiran landai
tersentak sesak nafas menitip makna dari khabar rahsia.

Naluri manusia tiada upaya mentafsir kias ganjil terpukau
ghalit bagai terhijab damir jiwa di mata hanya takjub pada
keasyikan sandiwara cinta melakar rindu yang letih
di ribaan nikmat melayar mimpi aneh: tersentak kaget
pada gelegak ombak meluru laju berpusar ganas berantakkan
segala kasih terburai kemesraan dari gegaran musibah pada
namanya tsunami adalah tusukan maut mencengkam serakah
menikam bongkak mencabut duri angkuh manusia derhaka.

Tentera ombak ganas menyerang pantai dan tanjung,merentap
akar pohon tak mengenal ampun meranapkan kezaliman teguh
runtuh jadi aib singgahsana cinta di tebing maruah ~ luluh
taman kemanusiaan begitu terpisah jasad dan roh, lesap rana
di baham selut,berkecaian tubuh-tubuh lembut terbuntang reput
dikelar maut. sungguh kita manusia kerdil tiada daya menolak
takdirnya tsunami: suatu iktibar tiada lain hanya redha dan sabar
muhasabah diri mengukuh peribadi kembali ke tapak kebenaran!

Firman Allah-Taala:
“ Telah lahirlah bencana di darat dan di lautan, kerana usaha
tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian
dari (balasan) perbuatan yang mereka lakukan, mudah-mudahan
mereka kembali (taubat)”
-Ar-Rum ayat: 41

ONN ABDULLAH
Antologi Tsunami,
2005

TIADA YANG ABADI

Tidak pada cantik paras rupa
tapi budi bahasa cinta
tidak pada kacak gagah
tapi semangat setia indah
tidak pada pangkat dan harta
tapi toleransi dermawan mulia
tidak pada menara kekuasaan
tapi tali ukhuwah kemesraan
tidak pada rukuk dan sujud
tapi keimanan dan ketakwaan
tidak pada taat dan amalan
tapi hanya keikhlasan
tidak pada segalanya
pada diri – kamanusian lebur
pada dunia – keindahan bertabur
tiada yang abadi – hanya Dia!
ONN ABDULLAH
Dewan Sastera,
Oktober, 2005

TELAGA


Telaga kasih
rindu menanti timba
telaga asli airnya suci
dingin nyaman
segar alirnya segar
mengalir nikmat
meski tak dalam
tak pernah berkurangan
malah lebih banyak
airkasih yang bertakung
dari suci mata-air abadi-Nya
dulu, waktu kau kecil
acapkali kau menimba mesra
sambil menyiram tubuhmu
dari dingin airnya
telaga kasih
peribadi yang bersih
air yang tercurah terbit jernih
kini, kaumuncul telaga telah sepi
dan riak jernihnya
terlindung rumput nestapa
dan kau pun enggan menyapa
telaga kasih
telaga asli tetap suci
hanya, kau yang tak sudi!

ONN ABDULLAH
Dewan Sastera,

Oktober, 2005.

SONETA LUKA

Tuduh menuduh adalah agenda utama permusuhan
sengketa hitam yang luka menyala api kebencian

apabila sudah tidak mampu menegakkan benang basah
seluruh benang itu pun terus tinggal kusut dan membelit

usul menarik cermat dari tepung agar benang tak putus
tapi tepung berterbangan menikam jernih mata cinta

sengaja menanam jebak untuk membunuh mangsa leka
mangsa tak pernah lupa jebak tapi sering tergadai jiwa

gendang canang menjerit mempamirkan tingkah angkuh
bergema menusuk gelisah seluruh telinga benua simpati

panah api menjunam lalu membakar rakus taman damai
jerit pekik bersatu dalam basah darah terkapar dibumi

demikian keji soldadu sekutu riak memancung kiblat
dan para mujahid tak mampu melakar peta muafakat

bumi anbia’ hancur lebur dihujani peluru dendam
dari jauh kita menatap pedih soneta luka yang kejam

ONN ABDULLAH
Dewan Sastera
Ogos, 2005.

POTRET

Lirih doa merata dalam kelunakan surah Yasin
di subuh bening menyiat rindu dalam debaran kasih
potret seorang isteri pada kelesuan mata menanggalkan
sutera cintanya dari cermin hayat dalam warna dan kata
yang sukar diterjemah oleh matakasih seorang lelaki kamil
bernama suami ~ rindu pun tergetar menyulam rahsia
kilauan alpa keasyikan cinta dari sebuah kefanaan:
sepi pun runduk ~ dalam gemuruh melakar makna
sabar yang tenang dalam lurah takdirnya.

Demikian lahar rindu menyusur kasih terbuka hijab
penuh limpahan nikmat risik kuntuman kasih wangi
dari zat alam takjub ~ indahnya keajaiban: aroma bunga-
bunga mesra mengembang dalam suara damai kerdipan
cakerawala langit malam pasrah sujud pada perintah-Nya,
tersentak lelaki itu persis menangkap suara angin merdu
bagai menghantar mutiara embun kesedaran, kehidupan ini
amanah terjunjung oleh akal dan akar diri bukan bebanan
tapi sebuah kerelaan suci, jauh tersirat iktibar kasih pada
mengharungi belantara penuh getir dibenahi debu-debu
putih tercengkam tajam kerikil-kerikil hitam di selokan
tanah yang kusam~ ah sulitnya jari-jari menyisih dan mata
mengalih menuntut kecekalan mengukir Tajmahal cinta dan
mampu melawan ribut umpat dan angin cerca yang bisa
membunuh sunyi dalam diri.

Kegetiran terjelma di ufuk kasih biar kebal tiada yang kekal
meniti puncak bahagia di titik ketentuan-Nya. Gemeresik rindu
yang jauh terasa dekat namun begitu sukar dalam mencari
potret indah meniup nyala baru kehidupan cinta.

ONN ABDULLAH
Dewan Sastera
Oktober, 2005.

PENDEKAR BAHASA

- buat Jaafar Abdul Rahim

Tampangmu tetap lembut dan yakin
di gelanggang persilatan lidah yang sulit
melontar hujah berhemah~ tegar
cita luhur menyubur buahfikir
menabur benih amal di laman sejahtera
menampi antah kata ~ mengikis melukut budaya
mencerna ilmuan mekar di perdu azam
kental mesra menyulam hasrat ke wajah zaman

Pasrah kaulalui jalur kehidupan ini
dengan nirmala kental semangat Kasturi
menyirat sabar mendepani terjah tohmahan
bagai kesetiaan Tuah tak mudah mengalah
tak mudah leka tak mudah tergelincir
tak mudah menyerah tak mudah melatah
segala jurus kausanggah yang kusut kaulerai
segala cakar kauhindar yang rumit kaurelai
segala jerkah kautafsir yang misteri kaudekati
segala desah kauusir yang sulit kauselidiki

Pendekar bahasa, telah kaujelajahi dunia
pemikiran yang jauh dengan logik imaginasi
kaususun gerak motivasi penuh dedikasi
mendaki puncak kreatif ~ melarik rahsia manusiawi
membongkar khazanah tersirat yang tersurat
melakar putik kasih ~ menyusun sireh martabat
dan pohon cinta kekar sejahtera
subur bangsa dan negara berdaulat!

ONN ABDULLAH
Antologi Sahabat Sejati.
2006

ORANG-ORANG KITA


Tiada apa lagi yang tinggal, selain
kulit sawo matang yang lembut
mata bening yang kalut
jari-jemari kematu yang kaku
lidah celupar yang kesal
telinga lintah yang tuli

tiada apa lagi yang tinggal, selain
cinta waja kental tak terucap
takjub keramat tak bertempat
kasih pertiwi yang tersembunyi
bisik-bisik strategi tak berisi

tiada apa lagi yang tinggal, selain
nostalgia rindu di album bangsa
marah dan dendam bergolak di dada
angkuh berani di wajah yang selamba
debu bahasa nanar yang tegar
taman kemakmuran yang cemar
ladang kemanusiaan yang calar

tiada apa lagi yang tinggal
pada orang-orang kita, selain
panah jihad yang punah berkecaian
benang-benang keimanan reput terkulai
struktur hati yang hidup tapi telah mati
di Persada maruah globalisasi

ONN ABDULLAH
Dewan Sastera,

Oktober, 2005.

MENGINTIP MATAHARI


Pernahkah kaumengintip matahari muncul dari
punggung bukit menabur bakti ~ melunas janji amal
yang asyik menyubur keredupan yang basah
lewat sentuhan embun dan rintik hujan semalaman.
Hari demi hari ia bangkit menjala sinarnya ~ suatu
amanah kecuali hililintar dan kilat menerpa, memintas
langit gemuruh berantakan jadi hujan lebat seakan musibah
tak terduga. Pada taat sekerlip istirahat sebelum ia
meneruskan khidmat alam fanaa hingga lembayung senja.

Di langit keadilan, sinarnya telus menusuk sejengkal
dari ubun-ubun. Tak siapa mampu sembunyi dari
keperitan intipannya ~ lemas seluruh tubuh diramas
rakus peluh keresahan

Bangunlah, orang-orang yang berselimut dari dengkur
kesiangan. Matahari pagi ini, akan terus mengintip kita!

ONN ABDULLAH
Ipoh
2006.

MELENTUR REBUNG


Melentur buluh pada rebungnya
melentur rebung pada akarnya
melentur akar pada diamnya
melentur diam pada akalnya
melentur akal pada ilmunya
melentur ilmu pada katanya
melentur kata pada lidahnya
melentur lidah pada hatinya
melentur hati pada takwanya
melentur takwa pada imannya
melentur iman pada amalnya
melentur amal pada ikhlasnya
melentur ikhlas pada diamnya

dalam diam
rebung yang diletur
tetap subur menjadi buluh
dibaluti miang yang kukuh

ONN ABDULLAH
Majalah Nur
November, 2006

MAIN-MAIN TANAH


Di bangku kecil kau main-main tanah
tanah pasir menjadi kediaman indah

nyata tanah adalah sebahagian dari kita
kejadian tercipta Adam insan pertama

tidak akan dapat melarikan diri pada tanah
kemana jua melangkah ke tanah juga pasrah

burung gagak bercakaran mati jadi iktibar

penggali kubur melempar jasad tanah
tanah nanti akan jadi persemadian abadinya

dari asal pergi kepada asal tanah misteri
main-main tanah ~ tanah nanti jadi saksi

ONN ABDULLAH
Forum Perdana.
1 Februari, 2005

MAIN-MAIN API


Lidah api yang marak
terdiam nyala di mulutmu

api di luar meramas sepi
panas api di alam jeram diam

tubuhmu adalah jeram dingin
api di luar mengusik ingin

kau main-main api
api yang kau didik indah nyala

dari kecil jadi kawan yang pintar
api di jamung besar lawan membakar

main-main api dijeram tubuhmu api
jangan sampai marak membakar diri!

ONN ABDULLAH
Buletin, Ipoh.
2004.

MADRASAH TARBIAH


Usah persiakan kesempatan bulan keberkatan
menanam benih cinta keikhlasan bulan kerahmatan
memetik bunga-bunga syurgawi bulan keampunan
mengkaji bahasa yang lembut ~mentafsir kalam
yang indah di rumah-Nya yang suci

kita pun terlalu hampir dengan-Nya
pasrah dan taqarub setulus jiwa
bernaung di bawah payung kukuh
ramadhan madrasah tarbiah
setelah sebelas bulan mengheret langkah
yang lelah,~ tersadung duri alpa
yang luka ~ terpijak perangkap nafsu
yang hampa ~ menggenggam kertas derita
yang gelap ~ mendakap debu noda
yang songsang ~ leka bersandiwara
yang pasrah ~ al-hamdulillah
ramadhan al-mubarak bulan seribu kenikmatan
bersama rindu dan cinta dalam sujud, munajat, zikir
dan tahmid mencari keredhaan-Nya, membersih diri
melentur jiwa dalam darah, roh, jiwa dan nafas

di pintu keikhlasan kita tunggu
menjelma dalam jiwa merdeka
menjelma dalam darah yang berkobar
menjelma dalam nafas yang kudus
kita perbanyakkan kalimah tayyibah
beristiqhfar serta berdoa
agar terlindung dari kesiksaan
azab neraka yang dahsyat!

ONN ABDULLAH
Dewan Sastera

Oktober, 2006.

LAUT SEBUAH TEATER


Laut sebuah teater yang dahsyat
di pentas saujana antara tarian ombak ganas
dan gelora nafsu serakah di tebing hayat
tercetus insaf dalam kerdil diri melamar hakikat
bagai perahu kecil menyusur arus cekal
layarnya terkembang direstui rentak angin
nelayan tua adalah pelaut yang hebat
menabur pukat cinta membongkar rahsia
laut mutiara kehidupan ~ di tengah arus samudera
mereka menjiwai watak dengan ketangkasan amal
bahtera menaikan sauh meninggalkan pangkalan
bunga buih tumbuh di hujung biru ombak berkejaran
menerjah dinding perahu kecil menunda arus pedoman
permaidani laut terbentang sayup menatap takjub
laut dan langit bertemu di layar harizon yang indah
tercipta damai dari warna lembayung senja
dan pelaut terus menjelajah jauh dunia cinta
melayari kehidupan.

ONN ABDULLAH
Antologi Puisi Laut.
10 Ogos, 2004.

LAUT BUKAN LAUT


laut bukan laut, laut janji ~ lautan api
laut bukan laut, laut kelam ~laut masaalah
laut bukan laut, laut persona ~ laut nafsu
laut bukan laut, laut yang hebat ~ laut akal
laut bukan laut, laut yang asyik ~ laut cinta
laut bukan laut, laut yang jauh ~ laut kenangan
laut bukan laut, laut yang dalam ~ laut kesepian
laut bukan laut, laut yang gelora ~ laut dendam
laut bukan laut, laut yang indah ~ laut impian
laut bukan laut, laut yang dekat ~ laut kematian
laut bukan laut, laut yang tenang ~ laut keimanan
laut bukan laut, kalau laut tetap laut!

ONN ABDULLAH
Antologi Puisi Laut.
Ogos, 2004.

KUNCI


Ini kunci rahsiaku membunuhku
jangan kau sia-sia rahsia ini, rahsia yang
menghapus angkuhku ~ rahsia yang merobek
suku-sakatku yang degil lagi jahat lagi pendusta
dengan lidah kau boleh bunuhku dari bersihnya hati
sucinya peribadi adalah rahsia yang bukan rahsia demi
melebur jiwaku melumpuh egoku biar mati terbuntang
hancur jadi debu biar tubuh dimamah gaham bumi
hangus dijilat neraka ngeri ~ biarkan punah sepunahnya.

ini rahsiaku dari kunci yang tersimpan lama
cuma lafaz zikir demi zikir di bibir di tabir siang
sepi dinihari dengan lidahmu menyebut-Nya dengan kasih
dan cinta. masa terluang terus sambung tulus benang-benang
zikirmu usah sampai membelit sedarmu dengan zikir itu
bisa hancur luluh hangat jasadku dalam bencimu,
tak akan berdosa bunuhku tapi berdosa jika kaubiarkan
aku menguasai mindamu yang hebat lagi dahsyat jiwamu
tanpa sedar kaulakar dosa demi dosa di pintu hayat
lalai dan alpa dari hasutan onarku.

rahsianya solat dan solat taubat nasuha dalam istiqhfar
tak putus-putus menghancur luluh kejiku malah terhapus
titik hitam di hatimu yang karat berdebu pada keikhlasan
sedekah jariah amal solehmu kerana tangan yang memberi
lebih baik dari tangan yang menerima pada kerdil insan
yang merindui bantuanmu

demikian telah kubuka sagala rahsia namun masih
enggan juga umatmu membunuhku, Muhammad!
sumpah aku tak mampu mendustaimu tapi sedia
menipu umatmu yang telah kutipu sejak ribuan abad
lewat Adam dan Hawa bermain sandiwara cinta di syurga
kerana engkarku, jangan biarkan aku hidup lagi, bunuh
segera daripada kuncinya~ kunci yang boleh membunuhku!

ONN ABDULLAH
Dewan Sastera
April, 2005

KATA ROH

Aku melihat
diriku telah tiada
dipanggil oleh takdir-Nya

Aku melihat diriku disucikan
disiram haruman mawar seluruhnya
dikafan bersih putih kegemaranku
dulu aku lakukan sendiri sebagai hamba-Nya
rutin amanah insani ~ kini diriku kaku
disembahyangkan atas kerelaaan fardu

Aku lihat diriku telah diusung
ke tanah tumpah tanahku
tempat asal kejadian pertama
aku tetap abadi dalam genggaman-Nya
tapi diriku dihantar pulang
sebelum aku dijemput datang

Aku nanti akan pergi dari sini
dan menanti diriku di sana
suatu tempat saujana alam misteri
kancah perhitungan yang benar
sejarah abadi insan bermula kehidupan
di riba nikmat atau selamanya
di pintu azab!


ONN ABDULLAH
Ipoh
2006

JANGAN, JANGANKAU

Ke laut jangan kauturun serkap jerung yang tidur
celahan lumut hidup yang sepi dengan riak gelora
kaujampi harapmu dengan impian yang angkuh
kaubiarkan sedulang resah di dada sang isteri
yang kecamuk dalam penantian jangan kaupukat
serigala jantan yang liar di taman rimba yang hangat
penuh batu pejal yang degil ingin kauruntuh dari mantera
dirimu yang kalut seribu dendam menyala di lidah api
yang pekak dan nanar kaujolok dengan seranah dendam
dalam kalut cinta~ jangan kutip seribu kerikil yang tajam
dijalanan jadi duri menikam ketulan daging beku takkan
mampu kaucuci titik-titik hitam yang karat tanpa risik suci
memecah acuan kedegilan di puncak cinta yang utuh
sendat debu jahil jangan kauseru pelesit jantan hitam
mengosongkan lumut resah di pundak yang liat digayuti
seribu setan yang menggilai atas kegagalanmu mengikis
sombong yang pekat jangan kau ke tanah lembah
jangan kausemah dengan darah jangan kautuba seribu
teka-teki bianglala puaka jangan wujudkan lagenda
baru yang kausumpah pada dendam yang tumbuh
pada segala- segalanya: jangan, jangan kau bertuhankan
Tuhan yang bukan tuhan!

ONN ABDULLAH
Dewan Sastera,
Oktober, 2005

INSAN KAMIL

Jantung yang berdenyut adalah keluhcinta
rindu bersalut kasih seribu asyik pada-Nya

Di lurah jiwa tumbuh mawar kesyukuran
tanda keabdian dari nikmat anugerah-Nya

Tiada hentinya dia berkelana di pulau solihin
mengutip zikrullah, mengisi sunnah batin rindu

Mencari diri dalam jejak kepastian hakikat
di puncak zuhud meneroka alam makrifat

ONN ABDULLAH
Ipoh,
2006

INI RUMAH KEKASIH KITA

ini rumah kekasih kita
berteduh seketika
tinggalkan selipar angkuh
di kaki tangga
ruang anjung mesra siap terhidang
santapan rohani yang unik
dengan minuman lazat zikirnya
merawat cinta kasih yang lara

ini rumah kekasih kita
sejadah maruah terbentang indah
jangan taburkan batu-batu sengketa
tidak juga pasir-pasir fitnah
yang merosakkan akidah
jadilah jemaah penuh hati suci
tidak retak tidak pecah
seperti kristal kaca
gemeresik iman seri indah cahaya

ini rumah kekasih kita
petiklah bunga-bunga syurga
dari pohon ilmu dan tazkirah
kerana di sini
ada taman firdausi
yang tersembunyi.

ONN ABDULLAH
Dewan Sastera
Oktober, 2005.

DUNIA RUMAH TANGGA

Indahnya alam seribu asyik
titian kasih kemilau jernih
hujung rindu bersemi cinta

bunga-bunga setia terserlah
harum damai taman perkasihan
dia memetik rela kuntum nikmat

bahagia di tangga kurnia
sebalik tabir diintai pesona irihati
dia memanjatkan bening doa

keberanian adalah bahasa jiwa
merempuh belantara hayat
dia pasrah dalam jejak hijrah

pergolakan tercetus api duka
rantai iman pengukuh diri
dilentur sabar ketentuan ilahi

ditangan takdir,
rahsia kasihnya tersembunyi
derita yang bahagia
bahagia yang derita
hidup dan mati
milik-Nya abadi!

ONN ABDULLAH
Antologi Istana Kasih
Ogos, 2005

DUNIA DI ATAS KERTAS

Dunia di atas kertas mudah terbakar
seperti daun-daun kering sepi terbiar

hangat bertebaran debu-debu hitam
hinggap lekit pada wajah melakar dendam

manusia terlalu bijak dan celupar kata
dalam diam melempar akal di sudut cela

resah jiwa celaru mengusik tali nanar
terlantar ngilu sudahnya merobek sabar

api amarah jadi lahar nafsu yang keji
segala amal tersia-sia di hujung jari

dunia di atas kertas cepat terbakar
dari tangan dosa yang menyala!

ONN ABDULLAH,
Dewan Sastera,
Oktober, 2005.

DI TANAH KERAMAT INI

Telah merdeka kita
pada kasih dan jiwa
pada kata dan bicara
pada gerak dan tindak
di tanah keramat ini
kita hulur jiwa kudus pasrah
dalam ikhlas mengatur langkah
bersama genggaman tekad jiwa perkasa
meneruskan cita tegar anak bangsa

Di tanah keramat ini
kita semai benih bahasa yang luhur
biar subur alam tercinta
dengan pohon kasih sayang
agar hidup berkah dan tak tercalar maruah
kita isi dengan pengertian berfaedah
jika jadi ayah ~ jadi ayah pengasih
jika jadi ibu ~ jadi ibu mithali
jika jadi anak ~ jadi anak soleh
jika jadi sahabat ~ jadi sahabat sejati
jika jadi suami ~ jadi suami yang adil
jika jadi isteri ~ jadi isteri yang solehah
jika jadi pemimpin ~ jadi yang berjiwa rakyat
jika jadi manusia ~ jadi manusia
yang punya harga diri

Di tanah keramat ini
dengan kematangan akal bijaksana
kita lakar landskap bahagia
untuk teruskan perjuangan
demi pembangunan insan!

ONN ABDULLAH,
Ipoh.
2006

DEKLARASI WARGA TERCINTA

Telah diturun-Nya rahmat bagi seluruh alam
dan kita dituntut memakmurkan sejahtera
dengan kebijaksanaan penuh iltizam
kita asuh kesabaran menjernih matafikir
mentafsir kembali tiap langkah dan tindak
dalam jiwa merdeka yang tegar
membina bahtera hayat semurni kata
kesatuan hati melakar landskap bahagia

Telah terlalu jauh perjalanan ini
kita cari makna hidup yang hakiki
sambil mengatur kematangan dengan restu dan doa
bersama gandingan semangat kukuh seteguh karang
sebagai warga gigih membina kecemerlangan
tanpa ragu tak mengenal riak kecewa
agar laman damai kekal di puncak nusa

Hujung waktu di musim cekal penuh ceria
kita terus genggam tekad mengukir nirmala cita
pertahankan maruah menjulang martabat
melafaz ikrar tak tergelincir dari batas makna
kita pahat piramid azam melakar peta perjuangan
dedikasi indah teruskan kegemilangan!

ONN ABDULLAH
Antologi Puisi Sahabat Sejati
Ipoh.

DEKLARASI KEMERDEKAAN

ini bukan medan insani leka merawat cinta
ini adalah sanggar saujana taman maruah
hamparan penuh ujian maha getir
menebus kesilapan dan menggilap peribadi
dalam keikhlasan nurani penuh seluruh
menyelak album diri dalam tafakur yang jauh
dari garisan cakerawala yang indah
dan melakar rindu iltizam perwatakan sejarah

musibah apakah yang meledak bumi jadi sengketa
hingga cermin kehidupan pecah berderai
seluruh jiwa tersula menahan pedih derita
dan leher bangsa terkelar pedih
kita terusir jauh bagai murba tak bermaruah
sembunyi di rimba diri terketar di gua masalah
hingga bertebaran bagai batu melata

tanyakan pada hati: adakah takut mati?
tanyakan pada jiwa: arah manakah distinasi?
tanyakan pada akal: adakah cuma bertawakkal?
tanyakan pada bangsa: akan merdekakah kita?

kita pasti merdeka! ujar lelaki perkasa
lelaki perkasa tak rela kehilangan bangsa
lelaki perkasa tak rela agama dipersenda
lelaki perkasa tak rela jadi budak hamba
lelaki perkasa tak rela bertuan bangsat tercela
lelaki perkasa rela kehilangan arca dan cinta
lelaki perkasa rela kehilangan ladang dan bendang
lelaki perkasa rela kehilangan kasih dan sayang

demi kemakmuran daerah tercinta
lelaki perkasa rela menelan pasir kata
dalam tuduh derhaka!

peti hayat derita yang terkuci sekian lama
akhirnya terbuka: bergema laungan merdeka
merdeka! merdeka! merdeka!
tapi sudah merdekakah kita dengan hanya
pekik raung penuh tegar dalam pengertian entah apa-apa
tanpa rasa pengisian makna yang diuji pada janji
seperti di petak-petak silangkata terbiar oleh akal yang cela
di kesempatan ini sebelum memuncak kesibukan
aturkan buahfikir dalam nafas kesabaran
rajutkan tali ingat ~ muhasabah diri mengisi nirmala cita
dalam tulus mengikut logik akal di antara puncak kelam
dan menegak songsang wujudkan istiqamah dalam iktikad diri
agar jaring keliru menutup ruang terserlah indah
ruang-ruang kosong penuh kegelapan ini akan kembali ceria
disaluti mutiara indah cahaya!

ONN ABDULLAH
Antologi Jamung Merdeka
2005

CERITA TENTANG DOSA

Angin kering menusuk dari sisi
menyelinap halus menyentak naluri

dan debu hitam itu jadi titik-titik noda
hingga mata hati tertutup oleh karat alpa

begitu tercacak bukit kejahilan
dalam dirimu
hingga tak mampu melihat kebenaran
dan kau sekadar menepisnya dengan tangan
tanpa lidah yang basah dengan zikir kasih
kerana jiwamu telah kering oleh kenanaran
dari fitnah yang lewat itu, demikian
penaka seruling kelalaian yang nyaring
melunakkan impianmu yang tegar.

Ada ketikanya kautepis
dengan ulas senyuman manis
menghalaunya seperti seekor langau
yang hinggap di mancung hidungmu
seperti tak ada apa-apa engkau ini,
sahabatku, aku takut kelamaan nanti
matamu akan terus tertipu
oleh keindahan dunia yang fana’
dan terlupa terus jadi manusia.

ONN ABDULLAH
Dewan Sastera,
Oktober, 2005.

GURINDAM BULUH

Buluh yang rendang itu belakang rumah ayah
melambai permai pucuknya menyentuh indah

sesekali bergesel tubuhnya terhimbau irama sayu
resah hati orang tua dari bisikan merdu sang perindu

lelaki perkasa yang hebat pada ajal tersungkur rebah
tajam buluh runcing menusuk kebal alah jampi serapah

pada ceritera sejarah melayu telah lahir sang putera
anak buluh betong yang kacak jadi sebutan buana

rakit buluh berlabuh tenang di hujung muara
sebelum direntap peraih sebagai bahan karyaneka

musim lebaran buluh lemang jadi rebutan seluruh
tak ketinggalan anak desa ribut dengan meriam buluh

buluh tetap buluh dibelah halus diraut cermat
dilentur cantik jadi wau indah penuh nikmat

buluh yang tumbuh melata adalah mahsul istimewa
tercipta dalam seribu guna melakar impian manusia

dari pukulan nasib terkapar lemah seekor ular bisa
dengan sebatang buluh dari seorang tua tak berdaya

melentur buluh, biarlah dari rebung namun takdirnya
rebung menjadi buluh diselimuti miangnya yang kukuh!

ONN ABDULLAH
Ipoh.
2006.

BENANG-BENANG KUSUT

benang-benang kusut
jaringan akal yang serabut

tidak mudah mengayam cakerawala
tatkala berdiri pada detik sukar

kita duduk tafakur mengukuhkan peribadi
menitip kudus rindu dalam zikir munajat
istiqhfar cair di bibir bersih
penuh cinta dalam sabar

kita petik kuntum ikhlas di ranting amal
terjalin bunga iman yang wangi
pada makam nafsu yang teruji

tiada yang mustahil bagi-Nya
benang yang kusut dilerai kematangan
dewasa fikiran dalam wasilah kehidupan!

ONN ABDULLAH
Dewan Sastera,
Oktober, 2005.

BAHTERA BAHASA

Kita layari bahtera bahasa
setangkas nakhoda perkasa
di lautan segara
menitip rempah ratus keimanan
dagangan unik geliga akal
ke pengkalan kemanusiaan

Kita terus sabar dan yakin
meredah ombak nusantara
merentas gelombang globalisasi
dengan muatan aksara kasih mencerna budi
dengan mutiara ilmu melakar pengalaman
merealisasikan cita dan nirmala impian
sepanjang warna kehidupan

Bahtera bahasa kita
biarkan layarnya terkembang
menelusuri jejak-jejak silam
pendita tersohor khazanah peribadi
wadah ilmuan yang sukar terpadam
di arca telah terpamir mercu tanda
yang tiada tandingan
mari kita harungi taufan cabaran
usah hiraukan cakar hujan dan sihir taufan
kerana di puncak hasrat tersembunyi
rahsia dunia tanpa sempadan!

ONN ABDULLAH
Ipoh.
15 Jun, 2006,

BAHASA SEKELIP MATA

Bahasa sekerlip mata
adalah bahasa rahsia

Bahasa rahsia
adalah bahasa cinta-Nya

Bahasa cinta-Nya
dalam genggaman kata

dalam genggaman kata
Kun Fayakun!

ONN ABDULLAH
Buletin,
2004.